KUALA LUMPUR: Satu Notis Kacau Ganggu dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap pihak pengurusan Flat Hicks atau lebih dikenali 'Shanghai Bund' di Bukit Bintang, di sini.
Notis itu dikeluarkan di bawah Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang mengarahkan tindakan pembetulan dilaksanakan segera terhadap keadaan kediaman itu yang kotor dan menjijikkan.
DBKL melalui kenyataan memaklumkan pihaknya hari mengadakan lawatan susulan di kediaman itu selepas lawatan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadhlun Mak Ujud pada 30 Jun lalu.
Pemeriksaan mendapati badan pengurusan bersama (JMB) Flat Hicks masih gagal mematuhi arahan dikeluarkan DBKL, sebelum satu Notis Kacau Ganggu dikeluarkan.
"Selain itu, satu kompaun dikenakan di bawah Seksyen 47(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, serta satu kompaun di bawah Seksyen 82(5) Akta Kerajaan Tempatan 1976 atas kegagalan mematuhi arahan pembersihan yang dikeluarkan," katanya.
Sebelum ini, Flat Hicks kembali tular apabila seorang YouTuber dari Australia, Marco Roams, mendedahkan keadaan terkini kawasan yang menjijikkan itu yang didakwa menjadi penempatan warga asing.
BH turut meninjau semula lokasi terbabit semalam sebelum mendapati persekitaran kediaman itu masih kotor, gelap dan berbau busuk, selain kawasan bangunan dipenuhi sampah-sarap dan terdapat takungan air yang mengeluarkan bau loya yang tidak menyenangkan.
Menurut DBKL, bagi memastikan tahap kebersihan kawasan serta melindungi kesihatan awam, pihaknya melaksanakan kerja pembersihan di lokasi walaupun tanggungjawab membersihkan kawasan berkenaan di bawah tanggungjawab JMB.
"DBKL akan terus memantau tahap pematuhan pihak yang bertanggungjawab dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya arahan yang dikeluarkan terus gagal dipatuhi," katanya.
Sementara itu, tinjauan BH di Flat Hicks mendapati beberapa notis dipercayai dikeluarkan jawatankuasa pengurusan bangunan masih dilekatkan di dinding bangunan, termasuk notis berkaitan pengurusan dan pembuangan sampah.
Ia menunjukkan masih terdapat usaha pentadbiran di premis berkenaan meskipun keadaan fizikalnya semakin daif.
Persekitaran premis setinggi enam tingkat itu dilihat seolah-olah sebuah bangunan terbiar apabila persekitarannya kekal uzur dan tidak diselenggara dengan baik.
Beberapa tingkap bangunan hanya ditutup menggunakan papan kayu, sekali gus menggambarkan keadaannya yang semakin usang dan tidak lagi diselenggara secara sempurna.
Di bahagian luar pula, saluran paip sudah uzur dilihat menitis air di beberapa kawasan, manakala wayar dan tali dawai bersilang dan bergantungan di sekitar bangunan menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan penghuni yang melalui kawasan itu berkenaan.
Walaupun keadaan bangunan menyerupai premis ditinggalkan, tinjauan mendapati ia masih dihuni beberapa individu yang didakwa warga asing dan bekerja di sekitar kawasan berhampiran.











_1783068331.jpg)












