JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berharap isu-isu lama yang dibangkitkan terhadap UMNO dan BN tidak lagi dimainkan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Timbalan Perdana Menteri itu memaklumkan setakat ini, momentum kempen BN semakin baik.
"Alhamdulillah, momentum kempen semakin baik. Walaupun kita dibebani dengan kehadiran rakan-rakan kita di gelanggang politik di Johor, Alhamdulillah isu-isu yang dibangkitkan adalah sesuatu yang telah disantuni dengan sebaiknya.
"Walaupun ada susuk tubuh tertentu melakukan pembelasahan dengan isu-isu lama terhadap UMNO dan BN, saya berharap isu-isu itu tidak dimainkan kerana kita adalah rakan dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perjumpaan dengan masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas di Dewan Raya Taman Cempaka, Kempas di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, semua pihak perlu berada di gelanggang politik Johor dengan penuh hikmah dan berkempen sebaik mungkin.
Beliau sekali gus berharap mana-mana pihak yang telah membangkitkan isu-isu yang tidak berkaitan dengan Johor, agar menghentikan tindakan itu.
Katanya, beliau tidak mahu mana-mana pihak berasa 'malu alah' apabila bertemu semula dengan rakan-rakan sama dalam Jemaah Kabinet.
Sebaliknya, beliau berkata, setiap parti hanya perlu mempromosikan kelebihan calon masing-masing tanpa perlu membangkitkan isu-isu lain, kerana mereka bertemu setiap minggu dalam mesyuarat Kabinet.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, BN tidak terlalu yakin atau 'overconfident' untuk mencatat kemenangan besar pada PRN Johor kali ini, sebaliknya menganggap gabungan itu masih berstatus 'underdog' dan perlu bekerja keras untuk menambah jumlah kerusi dimenangi.
Katanya, perubahan landskap politik Johor yang menyaksikan lebih 50 peratus pengundi terdiri daripada golongan muda, menuntut BN memberi tumpuan kepada keperluan mereka melalui tawaran manifesto.
Beliau berkata, antara fokus utama ialah menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji premium, dengan memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain menawarkan latihan kemahiran kepada anak muda.
























