KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) komited memperkukuh langkah mitigasi bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar susulan insiden seekor anak gajah mati dilanggar kenderaan di Jalan Felda Nitar, dekat Mersing, Johor, semalam.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata pihaknya memahami reaksi dan emosi masyarakat susulan kejadian itu serta memaklumkan tindakan segera menguruskan insiden itu sudah dilaksanakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Tegas beliau, konflik manusia dan hidupan liar berlaku akibat pelbagai faktor yang saling berkait, termasuk peningkatan populasi manusia dan gajah.
"Situasi ini dipengaruhi pengecilan, pemecahan serta kemerosotan habitat semula jadi akibat pembukaan tanah, pembangunan infrastruktur, aktiviti pertanian dan perubahan guna tanah yang mengganggu laluan tradisional pergerakan gajah.
"Selain itu, kewujudan tanaman pertanian seperti kelapa sawit, pisang dan tebu yang menjadi sumber makanan mudah diperoleh turut menarik gajah keluar daripada habitat asal, sekali gus meningkatkan risiko pertembungan dengan manusia," katanya melalui kenyataan.
Menurut Arthur, data menunjukkan antara 2021 hingga Mei 2026, sejumlah 76,361 aduan berkaitan konflik hidupan liar direkodkan seluruh negara dengan anggaran kerugian mencecah RM58.7 juta.
Sehubungan itu, NRES melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan konflik manusia dan gajah, termasuk menerusi Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT).
Selain, langkah juga diambil termasuk pelaksanaan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di kawasan berisiko tinggi bagi melindungi keselamatan penduduk.
"NRES juga membangunkan Santuari Gajah Johor (JES) secara berfasa sebagai inisiatif strategik untuk menguruskan habitat gajah dengan lebih sistematik.
"Bagi mengurangkan pergerakan gajah ke kawasan penempatan dan pertanian, kementerian merancang membina tambahan 21 'food bank' di Johor sebagai pelengkap kepada tiga lokasi sedia ada," katanya.
Beliau berkata, kerajaan menyediakan Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman (BKHT) bagi membantu pemilik yang mengalami kerugian akibat serangan hidupan liar, termasuk gajah.
Mengulas lanjut, Arthur berkata kementerian turut memperkukuh pelbagai langkah lain seperti operasi translokasi gajah, pembangunan koridor hidupan liar, penyelidikan serta pelaksanaan National Elephant Conservation Action Plan (NECAP) 2.0 bagi memastikan usaha menangani konflik manusia dan hidupan liar dilaksanakan secara lebih berkesan dan mampan.
Beliau turut menyeru semua pihak melihat insiden berkenaan secara menyeluruh dan bersama-sama memperkukuh keseimbangan antara pembangunan, keselamatan manusia serta pemuliharaan hidupan liar melalui kerjasama semua pihak.
























