BH Online
Ringkasan Berita

Perkasa pelancongan, sektor O&G di Tanjung Surat sediakan peluang kerja

KOTA TINGGI: Gabungan kekuatan sektor pelancongan dan industri minyak dan gas (O&G) akan terus diperkasakan di DUN Tanjung Surat bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, selain meningkatkan taraf hidup penduduk setempat, khususnya golongan muda.
Perkasa pelancongan, sektor O&G di Tanjung Surat sediakan peluang kerja

Aznan Tamin berbincang dengan peniaga kecil ketika kempen di Tanjung Surat - Foto NSTP/Nuratikah Athilya Hassan

KOTA TINGGI: Gabungan kekuatan sektor pelancongan dan industri minyak dan gas (O&G) akan terus diperkasakan di DUN Tanjung Surat bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, selain meningkatkan taraf hidup penduduk setempat, khususnya golongan muda.

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Tanjung Surat, Aznan Tamin, berkata kawasan itu mempunyai kelebihan tersendiri menerusi kehadiran industri O&G, selain potensi besar dalam sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi.

"Antara pendekatan yang kita lakukan untuk mempopularkan Tanjung Surat ialah dengan memberi fokus kepada pembangunan ekopelancongan. Kawasan Tanjung Surat mempunyai pantai yang cantik dan berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.

"Ia bukan sahaja dapat menarik kehadiran pelancong, malah memberi manfaat serta limpahan ekonomi yang baik kepada penduduk setempat," katanya ketika ditemui dalam siri jelajah kempen di Pangkalan Nelayan Sungai Rengit, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata sektor O&G pula mampu menawarkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada anak muda di kawasan berkenaan.

"Dengan kehadiran industri ini, anak muda di kawasan Tanjung Surat perlu diberikan perhatian melalui peluang pekerjaan yang berkualiti dan berpendapatan tinggi.

"Justeru, mereka perlu dilengkapkan dengan kemahiran yang bersesuaian supaya dapat ditempatkan dalam industri di kawasan sendiri. Matlamatnya ialah supaya mereka dapat terus tinggal di kampung halaman dan pada masa sama bekerja di kawasan sendiri," katanya.

Pada masa sama, ditanya mengenai pembangunan infrastruktur, Aznan berkata ada beberapa aspek yang masih memerlukan perhatian termasuk kemudahan jalan raya dan pencahayaan awam.

Menurutnya, usaha menambah lampu jalan sedang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kerajaan negeri, khususnya di laluan dari Bandar Penawar ke Tanjung Surat.

"Jika sesebuah kawasan mempunyai produk pelancongan yang menarik tetapi pencahayaannya tidak mencukupi, suasananya akan menjadi suram. Oleh itu, penambahan lampu jalan adalah antara pendekatan yang sedang kami laksanakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan aspek kebajikan rakyat akan terus diberi keutamaan, terutama dalam membantu golongan yang memerlukan.

"Kebajikan rakyat tidak pernah kami tinggalkan. Bantuan kepada rakyat yang memerlukan akan terus diberikan seperti sebelum ini supaya masyarakat di Tanjung Surat dapat hidup dalam keadaan yang selamat dan selesa," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan