BH Online
Ringkasan Berita

Nelayan Sungai Rengit mahu wakil rakyat selesaikan isu pemutihan lesen, naik taraf jeti

KOTA TINGGI: Nelayan di Sungai Rengit berharap calon yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, dapat memberi perhatian kepada isu pemutihan lesen nelayan serta menaik taraf jeti sedia ada bagi kemudahan mereka di kawasan itu.
Nelayan Sungai Rengit mahu wakil rakyat selesaikan isu pemutihan lesen, naik taraf jeti

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Tanjung Surat, Aznan Tamin, (kanan) melambaikan tangan membalas sapaan peserta konvoi 21 bot nelayan yang mengiringi ketibaannya di perairan Jeti Sungai Rengit, Pengerang, sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 - Foto BERNAMA

KOTA TINGGI: Nelayan di Sungai Rengit berharap calon yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, dapat memberi perhatian kepada isu pemutihan lesen nelayan serta menaik taraf jeti sedia ada bagi kemudahan mereka di kawasan itu.

Wakil Ketua Nelayan Pangkalan Sungai Rengit, Azmin Mohamed, 40, berkata isu lesen nelayan antara perkara yang sekian lama membelenggu komuniti berkenaan kerana ramai nelayan aktif masih belum memiliki lesen sah untuk turun ke laut.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 300 nelayan di Sungai Rengit yang terdiri daripada nelayan berdaftar dan tidak berdaftar, namun hanya sebilangan kecil yang memiliki lesen.

"Setahu saya, kuota lesen yang diberikan setiap tahun sangat terhad, iaitu sekitar lima bagi setiap pangkalan. Keadaan ini menyebabkan ramai nelayan yang benar-benar aktif tidak dapat memperoleh lesen baharu.

"Pada masa sama, ada pemegang lesen yang sudah tidak lagi turun ke laut tetapi lesen mereka masih aktif. Sebab itu kami berharap kerajaan dapat melaksanakan pemutihan lesen supaya nelayan yang benar-benar bekerja dapat memperoleh lesen," katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Sungai Rengit, semalam.

Mereka ditemui ketika siri jelajah kempen di Pangkalan Nelayan Sungai Rengit, oleh calon Barisan Nasional (BN) DUN Tanjung Surat, Aznan Tamin.

Pada masa sama, Azmin turut berharap hak nelayan terus dipelihara susulan pelaksanaan beberapa projek pembangunan di kawasan berkenaan.

Katanya, nelayan tidak menolak pembangunan termasuk projek mendalamkan dan pelebaran sungai, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira kepentingan komuniti nelayan tempatan.

"Kami pernah berdepan situasi apabila diarahkan keluar dari Sungai Rengit susulan pelaksanaan projek pembangunan di Pangkalan Jeti Sungai Musuh, dia minta kami beralih ke sana untuk menjayakannya.

"Tapi waktu musim angin kuat, nelayan dari sana minta bantuan kami untuk melabuh di Sungai Rengit untuk berteduh ," katanya.

Sementara itu, nelayan laut dalam, Hidayat Isa, 35, berharap wakil rakyat yang dipilih kelak akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan dan ekonomi golongan nelayan.

Katanya, komuniti nelayan memerlukan lebih banyak bantuan serta sokongan bagi memastikan kelangsungan sumber pendapatan mereka.

"Kami berharap wakil rakyat yang dipilih dapat membantu nelayan dengan lebih banyak lagi, khususnya dalam aspek kebajikan dan kemudahan yang diperlukan untuk meneruskan aktiviti menangkap ikan.

"Saya juga harap jeti nelayan di Sungai Rengit dinaik taraf dan dijadikan jeti angkat kepada calon yang diberi mandat nanti," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan