KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan kebenaran untuk mengambil doktor dan jururawat asing sudah lama diberikan, namun ia tertakluk syarat ketat yang dikawal selia badan profesional.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ini termasuk syarat ketat dan kawal selia itu termasuk oleh Majlis Perubatan Malaysia dan Lembaga Jururawat Malaysia demi menjamin kualiti perkhidmatan kesihatan.
Mengulas lanjut, beliau berkata pada masa ini KKM melantik pakar perubatan bukan warganegara untuk memenuhi keperluan perkhidmatan bagi bidang kritikal dan penempatan tertentu.
"Selain itu, KKM melantik pegawai perubatan siswazah bukan warganegara terdiri daripada pasangan kepada warganegara Malaysia dan berstatus pemastautin tetap untuk menjalankan latihan siswazah di kementerian.
"Bagi pengambilan jururawat asing untuk berkhidmat di KKM pula, perkara itu masih dalam penelitian dari aspek kebolehlaksanaan dengan agensi atau kementerian yang berkaitan," katanya melalui jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai inisiatif dilaksanakan KKM dalam menangani isu kekurangan doktor dan jururawat yang masih berterusan.
Mengenai usaha menarik doktor dan jururawat untuk kembali berkhidmat di negara ini, beliau berkata kerajaan melalui TalentCorp di bawah Kementerian Sumber Manusia melaksanakan program 'Returning Expert Program' (REP) untuk menarik bakat dan kepakaran warganegara Malaysia yang berkhidmat di luar negara termasuk dalam bidang perubatan dan kesihatan.
Program REP, katanya melibatkan pemberian insentif khas seperti pengecualian cukai pendapatan dan duti eksais untuk pembelian kenderaan buatan tempatan.
"Antara permohonan tertinggi untuk program REP sektor kesihatan adalah daripada United Kingdom (UK), Singapura dan Australia, manakala kategori profesion tertinggi yang memohon REP adalah pakar perubatan dan doktor perubatan," katanya.
Usaha kekalkan doktor dalam negara
Dalam usaha mengekalkan pegawai perubatan sedia ada, Dr Dzulkefly berkata KKM sedang melaksanakan beberapa inisiatif seperti. pemberian gaji permulaan kompetitif RM5,380 bagi Pegawai Perubatan Gred UD9 (tertinggi berbanding skim perkhidmatan awam lain) dengan kenaikan gaji tahunan RM225.
KKM juga, katanya memberikan elaun dan insentif khusus bagi pegawai perubatan antaranya Elaun Bertugas Selepas Waktu Pejabat di Klinik Kesihatan dan Klinik Rawatan Pesakit di Jabatan Kecemasan Hospital (Elaun Lokum) sebanyak RM80 sejam, Elaun Tugas Atas Panggilan bagi Pegawai Perubatan (ETAP) dengan kenaikan 40 peratus bermula 1 Oktober 2025 dan Elaun Pembedahan Elektif sebanyak RM80 sejam;
"KKM juga menyegerakan pengisian secara berfasa seramai 4,500 pegawai perubatan lantikan tetap. Bagi Fasa 1, seramai 328 orang Pegawai Perubatan ditawarkan lantikan tetap dan melapor diri bertugas ke fasiliti kesihatan KKM bermula 29 Jun 2026, manakala 4,172 yang ditawarkan pelantikan tetap dijadualkan melapor diri bertugas pada Oktober 2026.
"Peluang kenaikan pangkat secara time based dari Gred UD9 ke Gred UD14 dalam tempoh 12 tahun juga disediakan, selain peluang kemasukan secara lateral ke jawatan pegawai perubatan Gred UD10 bagi pegawai perubatan kontrak yang dilantik tetap," katanya.
Selain itu, beliau berkata KKM memberikan Bayaran Insentif Pakar Pra-warta (BIPPW) dengan kadar setara dengan Bayaran Insentif Pakar (BIP) kepada pegawai perubatan yang sedang menjalani tempoh pengalaman kerja diselia (SWE) bagi mengiktiraf komitmen dan beban tugas kepakaran dalam tempoh SWE.
"Peningkatan slot latihan program pengajian kepakaran Parallel Pathway tajaan KKM sehingga 600 slot setiap tahun disediakan melibatkan 14 bidang kepakaran mulai 2025 berbanding 52 slot pada 2022, selain penawaran Program Latihan Kepakaran (PLK) dengan Biasiswa KKM kepada pegawai perubatan lantikan kontrak," katanya.
























