KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin isu kenaikan harga kenderaan elektrik (EV) serta cukai jalan yang dikenakan bermula 1 Januari lalu tidak akan membantutkan momentum mobiliti hijau negara.
Keyakinan itu disuarakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dengan mengambil kira tiga justifikasi utama.
Ia meliputi kos pemilikan keseluruhan (TCO) EV yang lebih rendah, harga kenderaan itu yang akan menjadi semakin kompetitif serta perluasan rangkaian kemudahan pengecasan yang berterusan.
Menurut beliau TCO EV adalah lebih rendah memandangkan kos pengecasan dan penyelenggaraan EV adalah lebih rendah berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), manakala harga EV dijangka menjadi semakin kompetitif sejajar peningkatan skala pengeluaran tempatan, persaingan pasaran dan kemajuan teknologi bateri.
"Perluasan rangkaian kemudahan pengecasan yang berterusan di seluruh negara pula akan terus meningkatkan keyakinan pengguna serta mempercepatkan kadar penerimaan EV.
"Kesimpulannya, kerajaan akan terus menilai keberkesanan dasar dan insentif semasa secara berkala bagi memastikan pembangunan ekosistem EV bukan sahaja menyokong agenda penyahkarbonan negara, malah memperkukuh industri automotif tempatan, menarik pelaburan berkualiti, serta mewujudkan peluang ekonomi bernilai tinggi," katanya melalui jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohd Azizi Abu Naim (BEBAS-Gua Musang] sama ada kenaikan harga dan cukai jalan EV akan membantut usaha kerajaan untuk memastikan kelestarian alam melalui pengurangan pelepasan karbon dan memperkukuh ekosistem pengangkutan hijau negara.
Menyentuh soal harga jualan kenderaan, Johari berkata ia ditentukan pengeluar kenderaan berdasarkan strategi perniagaan masing-masing.
Bagaimanapun, katanya dengan insentif yang masih diberikan kepada EV pemasangan tempatan, sebarang kenaikan harga dijangka lebih tertumpu kepada model EV CBU import, manakala harga EV pemasangan tempatan dijangka kekal lebih kompetitif.
"Berhubung cukai jalan EV pula, pengecualian penuh Lesen Kenderaan Motor (LKM) sehingga 31 Disember 2025 merupakan salah satu langkah sementara untuk menggalakkan penggunaan EV.

"Bermula 1 Januari 2026, pemilik EV dikenakan kadar cukai jalan mengikut struktur baharu berdasarkan kapasiti kuasa motor (kW). Struktur ini bertujuan mewujudkan kadar yang lebih adil dan seimbang, di samping terus menggalakkan peralihan kepada kenderaan rendah karbon," katanya.
Matlamat kerajaan menerajui EV
Tambah Johari, matlamat kerajaan dalam menerajui industri EV jelas iaitu mengimbangi kepesatan penggunaan kenderaan elektrik dengan usaha memperkasa industri automotif tempatan, tanpa menggugat kemampanan fiskal negara.
"Selepas pemberian pengecualian 100 peratus duti import dan duti eksais kepada EV import (CBU) antara 2022 hingga 2025, dengan anggaran cukai yang terkorban mencecah RM3.3 bilion, pendekatan kerajaan kini beralih kepada fasa pembangunan industri yang lebih mampan, dengan memberi tumpuan kepada pengeluaran EV secara pemasangan tempatan.
"Sehubungan itu, bagi menggalakkan pemasangan tempatan, memperkukuh pembangunan vendor, meningkatkan pemindahan teknologi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pengecualian sepenuhnya duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi model EV yang dipasang secara tempatan diteruskan sehingga 31 Disember 2027," katanya.























