BH Online
Ringkasan Berita

Pokok Angsana 130 tahun tumbang akibat cuaca buruk, kali terakhir diselenggara April lalu

GEORGETOWN: Pokok Angsana berusia kira-kira 130 tahun yang tumbang dalam kejadian ribut di Jalan Batu Gantung di sini, malam tadi, kali terakhir diselenggara pada April lalu.
Pokok Angsana 130 tahun tumbang akibat cuaca buruk, kali terakhir diselenggara April lalu

Anggota bomba berusaha mengalihkan pokok Angsana yang tumbang itu di Jalan Batu Gantung. NSTP / AURIS FAQRURAZZI

GEORGETOWN: Pokok Angsana berusia kira-kira 130 tahun yang tumbang dalam kejadian ribut di Jalan Batu Gantung di sini, malam tadi, kali terakhir diselenggara pada April lalu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A Rajendran, berkata penyelenggaraan itu dilakukan mengikut jadual berkala ditetapkan bermula Januari lalu.

Beliau berkata, laporan awal mendapati pokok berkenaan tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang, menyebabkan kerosakan kepada dua rumah dan tiga kenderaan, namun tiada mangsa dilaporkan cedera.

"Penemuan awal menunjukkan pokok itu tumbang akibat keadaan cuaca buruk, iaitu hujan lebat disertai angin kencang.

"Pokok itu menjalani penyelenggaraan mengikut jadual pada Januari dan April tahun ini," katanya.

Rajendran berkata, kejadian pokok tumbang itu tidak membabitkan sebarang kecederaan.

Pokok Pterocarpus indicus atau lebih dikenali sebagai pokok Angsana itu dianggarkan setinggi kira-kira 25 meter dengan diameter sekitar 9.8 meter tumbang kira-kira jam 8.25 malam, sekali gus menghalang laluan di Jalan Batu Gantung.

Hujan lebat direkodkan antara jam 7.15 malam hingga jam 9 malam, manakala angin kencang sehingga 40 kilometer sejam direkodkan sekitar jam 8 malam oleh stesen cuaca MBPP di persimpangan Jalan Macalister-Jalan Perak (Taman Jepun).

Rajendran berkata, MBPP memulakan kerja mengalihkan pokok tumbang itu pada jam 9.15 malam dan berjaya membuka semula jalan kepada orang ramai pada jam 9.45 malam.Katanya, kerja pembersihan sisa pokok yang masih berbaki sedang diteruskan.

Sementara itu, penduduk yang terjejas mendakwa mereka berulang kali membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan pokok yang sudah berusia itu kepada pihak berkuasa dan meminta ia ditebang atau diuruskan dengan lebih baik, namun tiada tindakan diambil.

Mereka turut menuntut MBPP menanggung sepenuhnya kos membaiki kerosakan harta benda yang dialami akibat kejadian itu.

Video Terkini

Berita Berkaitan