KUALA LUMPUR: Jutaan penilaian dan ulasan pengguna kini memainkan peranan penting dalam menentukan restoran serta perniagaan makanan pilihan rakyat Malaysia.
Daripada restoran popular dan gerai makanan tempatan sehinggalah perniagaan kecil yang semakin berkembang, pengalaman pelanggan kini menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi pilihan pengguna.
Seiring perkembangan itu, Grab 5 Star Eats Awards 2025 kembali sebagai platform pengiktirafan kepada restoran dan perniagaan makanan yang mendapat sokongan serta kepercayaan pengguna di seluruh negara.
Pengalaman pelanggan jadi penentu utama
Berbeza dengan anugerah lain, pengiktirafan ini ditentukan sepenuhnya menerusi penilaian dan ulasan pengguna di platform Grab berdasarkan pengalaman sebenar pelanggan.
Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia, Tan Jiong Jian berkata, usaha membantu rakan peniaga terus berkembang menjadi antara keutamaan syarikat itu menerusi pelbagai inisiatif digital.
Katanya, Grab berhasrat untuk kekal sebagai platform utama kepada perniagaan makanan di negara ini dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk penghantaran makanan, makan di premis serta sokongan bagi membantu perniagaan tempatan menjangkau lebih ramai pelanggan.
"Melalui penggunaan data dan teknologi, kami membantu perniagaan tempatan membina kepercayaan pelanggan serta memperluaskan capaian mereka," katanya.
Lebih banyak jenama tempatan diiktiraf
Penganjuran tahun ini turut berlangsung ketika kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 sedang diperkasakan.
Menerusi Panduan Makanan 5 Star Eats, inisiatif itu dijangka membantu pengguna tempatan serta pelancong asing mengenal pasti lokasi makanan pilihan di seluruh negara.
Pada masa sama, inisiatif itu turut membuka peluang kepada lebih banyak perniagaan kecil tempatan untuk memperluaskan jenama mereka kepada khalayak lebih luas.
Sambutan tahun ini turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila jumlah kategori anugerah diperluaskan sebanyak 54 peratus.
Perkembangan itu menyaksikan peningkatan sebanyak 91 peratus dalam jumlah jenama tempatan yang menerima pengiktirafan berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah keseluruhan penyertaan pengundi turut meningkat sebanyak 45 peratus, manakala bilangan pengguna yang mengundi finalis bertambah 59 peratus.
Buat pertama kali, Grab turut memperkenalkan kategori Grab Dine Out yang memberi pengiktirafan kepada pengalaman menjamu selera di restoran, selain perkhidmatan penghantaran makanan.
Sebanyak 17 kategori dipertandingkan tahun ini termasuk Makanan Malaysia Pilihan Ramai, Pilihan Mesra Bajet dan Bintang Baharu.
Perkembangan itu jelas menunjukkan bahawa pengguna kini bukan sekadar menikmati makanan, malah turut memainkan peranan penting dalam membentuk reputasi serta kejayaan jenama makanan tempatan.























