BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Setiausaha Politiknya, Tony Pua memberikan jawapan panjang lebar dalam kenyataan akhbar bersama selepas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak mahu lagi ada mana-mana pihak tertentu mendakwa kejayaan pelaksanaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) adalah hasil usaha mereka semata-mata.
Baginda turut berkongsi bagaimana idea pembinaan LRT3 itu susulan keluhan dan rintihan yang disampaikan suri rumah mengenai suami mereka kerap sampai lewat ke rumah selepas waktu kerja kerana terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas, khususnya di Lebuh Raya Persekutuan.
Titah baginda ketika itu agar satu kemudahan pengangkutan rel dibina menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kemudian dilaksanakan tetapi pertukaran kerajaan pada 2018 menyebabkan projek LT3 tergendala selama 18 bulan, selain tambahan 19 bulan akibat pandemik COVID-19.
Dalam pentadbiran di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang Guan Eng menjadi Menteri Kewangan itulah, kos pelaburan LRT3 diturunkan, saiz setiap stesen dikecilkan dan jumlah gerabak dikurangkan, manakala lima lokasi cadangan stesen dalam jajaran itu juga dibatalkan atau mengikut penjelasan kenyataan akhbar itu, ditangguhkan.
Bagaimanapun di bawah pentadbiran baharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan projek ini dengan mengembalikan semula lima stesen berkenaan serta akan turut membina rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3 bagi menambah kemudahan kepada rakyat.
Dalam konteks inilah, kenyataan kedua-dua ahli politik DAP itu perlu diteliti kerana premis kepada apa yang berlaku selepas 2018 dan ditegaskan kembali, semalam, adalah mengenai penjimatan sebanyak RM15.02 bilion apabila semakan kos menurun sebanyak 47 peratus daripada RM31.65 bilion kepada RM16.63 bilion.
Selepas disiapkan, mengikut kenyataan Guan Eng dan Pua, dengan peningkatan dan penambahbaikan tambahan dilaksanakan, sekali gus membolehkan penjimatan kos projek awal melebihi RM9.72 bilion untuk pembayar cukai Malaysia dengan harga akhir RM21.93 bilion berbanding harga asal RM31.65 bilion yang diluluskan.
Hasil daripada beban hutang projek lebih rendah, kerajaan juga dijangka dapat menjimatkan sehingga RM10 bilion lagi dalam kos faedah sepanjang tempoh 25 hingga 30 tahun.
Sekali baca, Guan Eng mahupun Tony Pua boleh dipertahankan dari sudut disiplin fiskal, tetapi persoalan lebih besar yang perlu dijawab - bahkan saya fikir inilah asas penting yang menjadi falsafah di sebalik titah terbaru Sultan Selangor - apakah negara memperoleh rangkaian transit terbaik untuk jangka panjang yang membawa makna kepada rakyat mendapat perkhidmatan yang cekap dan mudah, isu kesesakan lalu lintas dapat diatasi, masalah pencemaran akibat pembebasan karbon oleh kenderaan persendirian dikurangkan dan kerajaan tidak terbeban dengan pelbagai 'kerugian tidak kelihatan' akibat ketidakupayaan sesuatu projek pengangkutan awam untuk mengambil kira pelbagai aspek akibat 'penjimatan' dibuat sebelum ini?
Dalam ekonomi pengangkutan, terdapat perbezaan besar antara penjimatan kos dengan 'nilai untuk wang'. Penjimatan kos memang mustahak kerana dana awam mesti dibelanjakan secara berhemat dan berhemah tetapi berjimat bukanlah matlamat terakhir sesuatu projek infrastruktur.
Pengangkutan awam 'rapuh'
Kita boleh berbangga dengan beberapa bilion ringgit dijimatkan tetapi pada masa sama pengguna enggan beralih kepada pengangkutan awam. Ini bukan kebimbangan tidak berasas kerana Kajian Mobiliti Lembah Klang (GKLMOB) Fasa 1 Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati walaupun pengangkutan awam secara umumnya boleh digunakan atau 'usable', kegagalan kecil berulang boleh merapuhkan aspek kebolehpercayaan, akses dan penyampaian maklumat dalam sistem ini hingga ramai pengguna akhirnya menggunakan kenderaan persendirian.
Kesan daripada hal ini sudah tentu mengakibatkan kesesakan jalan raya terus meningkat, penggunaan bahan api bertambah dan produktiviti pekerja merosot akibat masa perjalanan lebih panjang, sekali gus menjadikan dari sudut analisis kos-manfaat, penjimatan itu mungkin sebenarnya menjadi kerugian tidak kelihatan dalam banyak aspek termasuk kesihatan awam.
Malah, antara 'penjimatan' yang boleh menjejaskan keupayaan optimum yang sepatutnya dapat diraih daripada LRT3 ialah tempahan rolling stock dikurangkan daripada 42 set tren 6-gerabak kepada 22 set tren 3-gerabak yang dikatakan selaras dengan kajian trafik penumpang sehingga 2035 dijalankan perunding bebas dan diluluskan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Pengurangan jumlah set dan gerabak ini menyebabkan tren hilang daya tarikan utama kerana dalam sistem transit moden, headway atau selang masa antara tren terjejas. Tren paling laju sekalipun akan kehilangan daya tarikannya jika penumpang perlu menunggu lama di platform.
Mengikut laporan semasa, kekerapan tren pada peringkat awal sebelum penambahan jumlah tren adalah kira-kira lapan minit ketika waktu puncak. Di atas kertas, ada pihak mungkin menganggap ia munasabah tetapi hanya pengguna harian LRT dan MRT sahaja akan tahu perasaannya apabila terpaksa melepaskan sekurang-kurangnya empat tren kerana sama sekali tidak boleh masuk ke dalam koc. Darabkan tiga tren (sekurang-kurangnya) dengan lapan minit, ia sudah mencecah setengah jam!
Malah, ia diburukkan lagi dengan cara kita membuat penjimatan - mengurangkan tren 6-gerabak kepada 3-gerabak - suatu tindakan yang boleh saya berikan reaksi begini - kita patut wajibkan semua menteri dan ahli Parlimen untuk pergi kerja dengan menaiki pengangkutan awam!
Sudah tentu kita tertanya-tanya apakah premis yang menjadi asas kepada kajian trafik berkenaan - apakah untuk memastikan unjuran trafik penumpang mengambil kira pelbagai perubahan pada masa depan termasuk kemungkinan peningkatan pengguna atau ia berlandaskan seberapa banyak kita boleh membuat penjimatan di sebalik unjuran kapasiti penumpang?
Pengguna terpaksa 'lepaskan' empat tren
Tanpa perlu menunggu 2035 dengan mengambil kira kesesakan pada waktu puncak sama ada LRT laluan sedia ada terutama laluan Kelana Jaya mahupun Transit Aliran Massa (MRT), saya bersama pengguna lain sedang mengalaminya - wajar juga saya tujukan soalan ini kepada Guan Eng dan Pua, "Bilakah kali terakhir anda berdua menaiki LRT pada waktu puncak sehingga terpaksa melepaskan beberapa tren sebelum berjaya masuk ke dalam koc?"
Hakikatnya, kajian trafik yang sering dijadikan sandaran sesuatu keputusan - termasuk dalam kenyataan kedua-dua pimpinan DAP itu - perlu juga dibina berdasarkan andaian mengenai pertumbuhan penduduk, pembangunan perumahan, harga minyak dan corak perjalanan semasa. Apabila semua pemboleh ubah itu berubah, unjurannya juga boleh berubah dengan ketara.
Sebab itu dalam perancangan perbandaran berjaya termasuk pengangkutan biasanya menyediakan ruang untuk 'future proofing' kerana infrastruktur transit lazimnya dibina dengan lebihan kapasiti disebabkan lebih murah menyediakan ruang hari ini daripada membesarkannya semula 20 tahun akan datang.
Antara kelemahan terbesar pengangkutan awam negara sebenarnya bukan hanya terletak pada panjang laluan atau jumlah stesen, sebaliknya sebaik sahaja seseorang melangkah keluar dari rumah.
Saya pernah menulis masalah 'first mile-last mile' ialah duri dalam daging sistem pengangkutan awam negara. Penumpang mungkin sanggup menaiki LRT dan MRT selama 40 minit, tetapi tidak sanggup berjalan hampir satu kilometer di kaki lima yang tidak mesra pengguna dan di bawah panas matahari, melintas beberapa jalan besar atau menunggu bas perantara hampir sejam di luar waktu puncak.
Realitinya, pengguna tidak mengira berapa bilion dijimatkan tetapi mereka mengira berapa mudah sampai ke pejabat atau destinasi. Sekiranya ada ahli politik yang mencemuh hal ini sebagai 'pentingkan diri' dan bukannya 'pentingkan negara', maka mereka mungkin berada dalam bidang yang salah.
Hakikatnya, pengangkutan awam wajib dilihat sebagai pelaburan strategik negara, bukan sekadar perbelanjaan pembangunan. Jepun, Korea Selatan dan Singapura tidak melabur berbilion dolar semata-mata supaya operator rel memperoleh keuntungan besar, sebaliknya demi manfaat kepada ekonomi keseluruhan dan perkhidmatan kepada rakyat jauh lebih besar daripada keuntungan kewangan semata-mata.
Titah Sultan Selangor itu bukan semata-mata suara dari puncak istana kepada ahli politik. Sebagaimana pada awalnya, baginda prihatin dengan luahan isteri yang suaminya pulang lambat, maka titah terbaru itu sepatutnya dijadikan peringatan kepada ahli politik yang diberikan kuasa supaya berfikir dengan lebih bijaksana dan mengambil kira masa depan, bukannya membilang angka di atas kertas serta mendabik dada kerana penjimatan yang akhirnya tidaklah berbaloi.
Penulis adalah Pengarang Berita (Rencana) BH
























