BH Online
Ringkasan Berita

Bolehkah majikan tolak permohonan cuti tahunan? Apa yang kita tahu

KUALA LUMPUR: Pekerja warga negara ini berhak mendapatkan cuti tahunan daripada majikan sebagai sebahagian daripada manfaat pekerjaan yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
Bolehkah majikan tolak permohonan cuti tahunan? Apa yang kita tahu

Peruntukan Akta Kerja 1955 memberi jaminan terhadap hak pekerja untuk menikmati cuti tahunan, tetapi pelaksanaannya perlu mengambil kira kepentingan kedua-dua belah pihak. - Foto fail NSTP/Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Pekerja warga negara ini berhak mendapatkan cuti tahunan daripada majikan sebagai sebahagian daripada manfaat pekerjaan yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Namun menurut seorang pengamal undang-undang, masih terdapat salah faham dalam kalangan pekerja yang beranggapan bahawa tarikh cuti tahunan bebas ditentukan oleh mereka tanpa mengambil kira keperluan operasi syarikat atau kelulusan majikan.

Peruntukan Akta Kerja 1955 katanya, memberi jaminan terhadap hak pekerja untuk menikmati cuti tahunan, tetapi pelaksanaannya perlu mengambil kira kepentingan kedua-dua belah pihak.

Perlu dipastikan operasi syarikat tak terjejas

Ia bermaksud pekerja berhak memohon cuti, manakala majikan bertanggungjawab mengurus permohonan cuti dan membuat keputusan mengenainya mengikut kesesuaian supaya operasi syarikat tidak terjejas.

Perkara itu diperuntukkan menerusi Seksyen 60E(2) Akta Kerja 1955 (Akta 265), yang menyatakan bahawa majikan hendaklah memberikan cuti tahunan dan pekerja pula hendaklah mengambil cuti berkenaan dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan selepas tamat setiap 12 bulan perkhidmatan berterusan yang melayakkan mereka menerima cuti berkenaan.

Peruntukan itu menjelaskan bahawa undang-undang bukan sahaja mengiktiraf hak pekerja untuk mendapat cuti tahunan, malah turut meletakkan tanggungjawab kepada majikan untuk memastikan cuti berkenaan diberikan dalam tempoh yang ditetapkan.

Sebagai contoh, jika seorang pekerja memohon cuti selama seminggu ketika musim perayaan, tetapi pada masa sama ramai rakan sekerja turut membuat permohonan, majikan boleh meluluskan cuti pada tarikh lain bagi memastikan operasi syarikat berjalan lancar.

Dalam keadaan itu, hak pekerja untuk menikmati cuti tahunan tidak dinafikan, sebaliknya masa cuti diuruskan mengikut keperluan operasi organisasi.

Bagaimanapun, kuasa itu bukan bersifat mutlak sehingga boleh menafikan hak pekerja untuk menikmati cuti tahunan yang diperuntukkan undang-undang.

Sebaliknya, majikan tetap mempunyai tanggungjawab memastikan pekerja berpeluang mengambil cuti tahunan dalam tempoh yang ditetapkan di bawah Seksyen 60E(2).

Pekerja berhak dapat bayaran cuti tak diambil

Peruntukan sama turut memperuntukkan bahawa jika pekerja, atas permintaan majikan, bersetuju secara bertulis untuk tidak mengambil sebahagian atau keseluruhan cuti tahunan yang layak diterima, pekerja berhak memperoleh bayaran sebagai ganti kepada cuti yang tidak diambil itu mengikut kadar yang ditetapkan.

Justeru, pekerja dan majikan disaran merancang jadual cuti lebih awal bagi mengelakkan pertindihan permohonan serta memastikan hak pekerja terus dipelihara tanpa menjejaskan produktiviti dan kelancaran operasi organisasi.

Pemahaman terhadap Seksyen 60E(2) Akta Kerja 1955 penting bagi mengelakkan salah tafsir bahawa pekerja mempunyai hak mutlak menentukan tarikh cuti tahunan mengikut kehendak sendiri tanpa kelulusan majikan.

Video Terkini

Berita Berkaitan