KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengadakan lawatan ke Media Prima Berhad (Media Prima) di Balai Berita, hari ini bagi memperkukuh hubungan strategik serta meneroka peluang kerjasama dalam landskap media dan telekomunikasi yang semakin berkembang.
Lawatan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad, juga bertujuan meninjau operasi syarikat dengan lebih dekat termasuk melihat beberapa fasiliti utama Media Prima.
Shamsul berkata media memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat dan menyampaikan maklumat yang tepat mengenai usaha negara menuju masa depan tenaga yang lebih mampan.
Beliau menyifatkan kunjungan berkenaan sebagai satu pendedahan yang amat bermakna, khususnya selepas melihat kecanggihan teknologi, penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta automasi yang kini diaplikasikan dalam operasi Media Prima.
"Langkah proaktif Media Prima dalam memanfaatkan teknologi terkini amat menggalakkan. Syabas diucapkan kerana berani mengambil langkah membawa industri ini ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
Shamsul berkata, hubungan kerjasama yang terjalin sekian lama antara TNB dan Media Prima akan terus diperkasakan dalam menyampaikan mesej berkaitan pembangunan sektor tenaga kepada masyarakat.
Beliau berkata Malaysia kini sedang melalui fasa peralihan tenaga yang membuka peluang kepada pertumbuhan ekonomi serta pelaburan baharu.
"Belanjawan hampir RM43 bilion dalam kita melaksanakan projek seperti pengukuhan grid, pengagihan automasi yang mana membolehkan kita memperkukuhkan sistem grid nasional kita.
"Yang membolehkan lagi banyak tenaga boleh baharu masuk ke dalam sistem grid TNB dan membolehkan tenaga boleh baharu menjadi lebih menonjol di dalam portfolio pembekalan tenaga kita," katanya.
Jelasnya, dengan sokongan kerajaan dan Suruhanjaya Tenaga, hampir RM43 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan projek pengukuhan grid nasional serta automasi sistem pengagihan elektrik.
Menyentuh kerjasama dengan Media Prima, Shamsul berkata, kedua-dua pihak turut merancang kesinambungan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Cahaya Impian, susulan kejayaan episod pertama yang mendapat sambutan menggalakkan masyarakat.
"Program seperti Cahaya Impian adalah salah satu contoh bagaimana TNB memberi pulangan kembali kepada rakyat dalam memaklumkan keprihatinan kita kepada rakyat yang amat memerlukan di luar sana." jelasnya.
Beliau menambah program sedemikian membuktikan bahawa TNB bukan sekadar membekalkan tenaga elektrik, tetapi juga komited menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Ketibaan Shamsul bersama lapan pengurusan kanan TNB disambut Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Rafiq Razali.
Delegasi TNB dibawa melawat beberapa platform utama Media Prima, termasuk Media Prima Audio, Studio TV3 dan KLiK, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP).
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Stephanie Wong; Ketua Pegawai Operasi Media Prima Audio, Nazri Noran; Ketua Pegawai Operasi Big Tree, Fariz Mustafa; Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Rangkaian Televisyen, Jasbant Singh; serta beberapa lagi pengurusan kanan kumpulan.
Delegasi TNB turut disertai Ketua Rumusan Perniagaan Global, Datuk Ir Azmi Md Yusof; Ketua Hal Ehwal Korporat, Mohd Zaidi Mat Zain dan Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat, Samsul Ariffin Zainudin.
























