BH Online
Ringkasan Berita

PRN Johor: 'Maaf. Beristeri dan setia' curi perhatian pengundi DUN Panti

KOTA TINGGI: ‘Maaf. Beristeri dan setia.’
PRN Johor: 'Maaf. Beristeri dan setia' curi perhatian pengundi DUN Panti

Siri gegantung Mohamad Alias yang mewarnai kempen PRN Johor di DUN Panti. - Foto ihsan Mohamad Alias Rasman

KOTA TINGGI: 'Maaf. Beristeri dan setia.'

Itu ayat mencuri perhatian pada siri gegantung calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Mohamad Alias Rasman, yang mewarnai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini.

@bharianmy PRN Johor: 'Maaf. Beristeri dan setia' curi perhatian pengundi DUN Panti #BeritaDiTiktok ♬ original sound - Berita Harian

Ketika kebanyakan calon memanfaatkan media sosial untuk mendekati pengundi, peguam berusia 35 tahun itu tampil memilih pendekatan berbeza dan unik dengan menggunakan beberapa gegantung yang memaparkan biodata ringkas dirinya di lokasi strategik sekitar DUN berkenaan.

Mohamad Alias yang juga Ketua ARMADA BERSATU Johor berkata, idea itu tercetus daripada strategi pemasaran yang menekankan aspek psikologi bagi memudahkan orang ramai mengingati seseorang melalui maklumat ringkas tetapi berulang.

Beliau berkata, setiap gegantung kempennya hanya memaparkan satu fakta mengenai diri seperti latar belakang keluarga, profesion, sekolah, universiti dan status diri, berbanding menghimpunkan semua maklumat dalam satu paparan.

"Saya lebih suka berkempen di luar kotak pemikiran. Tujuan kita berkempen ialah memperkenalkan diri kepada pengundi, justeru saya fikir pendekatan ini lebih mudah menarik perhatian dan melekat dalam ingatan mereka.

"Kalau kita meletakkan semua maklumat dalam satu gegantung, orang yang lalu dengan kenderaan mungkin tidak sempat membacanya.

"Oleh itu, saya pecahkan kepada beberapa gegantung supaya mereka boleh baca satu demi satu," katanya ketika dihubungi.

Mohamad Alias berkata, strategi itu dipilih selepas mengambil kira demografi DUN Panti yang mencatat peningkatan ketara pengundi kali pertama, selain kedudukannya di laluan utama yang sentiasa sibuk dengan trafik keluar masuk Kota Tinggi, Kulai dan Johor Bahru.

Beliau berkata, faktor itu menjadikan kaedah visual melalui gegantung masih relevan sebagai pelengkap kepada penggunaan media sosial seperti TikTok dan siaran langsung yang turut digunakannya sepanjang tempoh berkempen.

"Media sosial memang penting, namun kita tidak boleh bergantung pada satu platform saja. Kempen perlu menggabungkan visual di lapangan dengan media digital supaya lebih ramai orang dapat mengenali calon.

"Apabila orang nampak nama saya bersama maklumat ringkas seperti peguam atau alumni sekolah, memori itu lebih mudah terbentuk. Itulah konsep psikologi pemasaran yang saya cuba gunakan," katanya.

Mohamad Alias berkata, frasa 'Maaf, sudah beristeri dan setia' ialah antara yang paling mendapat perhatian kerana secara tidak langsung mendorong pengundi untuk mengenali latar belakang sedia ada dirinya.

"Saya melihat pengundi mudah tertarik membaca perkara seperti itu. Apabila berhenti melihat gegantung berkenaan, secara tidak langsung mereka turut membaca maklumat lain mengenai latar belakang saya.

"Apabila berjumpa ketika berkempen, ramai sudah mengenali saya. Ada terus tegur saya sebagai Alumni Tun Habab, malah ada juga terus mengenali isteri saya.

"Itu menunjukkan visual mampu membantu membina ingatan pengundi," katanya.

Beliau memaklumkan sambutan diterima amat positif, setakat ini, selain memberi bayangan akan memperkenalkan beberapa lagi idea kreatif sepanjang tempoh berkempen.

Siri gegantung berkenaan dipasang di beberapa lokasi strategik, termasuk berhampiran Masjid Jamek Kota Tinggi, Bandar Tenggara dan Batu Empat.

Selain frasa terbabit, gegantung berkenaan turut memaparkan pengenalan ringkas dirinya seperti 'Anak Cikgu Leha Petri Jaya', 'Cucu Wak Nin', 'Alumni Tun Habab' dan 'Peguam'.

Pada PRN Johor kali ini, Mohamad Alias berdepan saingan tiga penjuru apabila bertembung dengan Ahmad Daniel Sharudin daripada Pakatan Harapan (PH) dan Dr Muhammad Naqib Md Ghazali mewakili Barisan Nasional (BN) bagi merebut kerusi DUN Panti yang disandang oleh Hahasrin Hashim (BN) selama dua penggal.

Video Terkini

Berita Berkaitan