BATU PAHAT: Pakatan Harapan (PH) berkempen 'berbekalkan' pengalaman mentadbir di Selangor dan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, berkata berdasarkan pengalaman itu, PH yakin mampu membawa pembangunan lebih menyeluruh di Johor.
Katanya rekod pentadbiran PH di kedua-dua negeri berkenaan membuktikan keupayaannya mengurus kerajaan negeri dengan baik selain memberi manfaat kepada rakyat.
"PH yang dipimpin Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sudah jauh ke depan dari segi tadbir urus negeri.
"Jadi saya yakin pengalaman di Selangor dan Pulau Pinang akan membantu membawa Johor menjadi lebih baik daripada sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Jelajah Johor Ke Depan Undi Harapan di Pekan Senggarang, malam tadi.
Turut hadir Amirudin, yang juga Naib Presiden PKR.
Beliau juga berkata, sepanjang lima hari berkempen, tidak menyangka menerima sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat.
























