BH Online
Ringkasan Berita

PAS gesa jangan undi PH, BN tunggu hasilnya nanti - Ahmad Zahid

KOTA TINGGI: Gesaan PAS supaya pengundi tidak mengundi calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk di kerusi yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan PH, tidak dianggap memberi kelebihan kepada BN.
PAS gesa jangan undi PH, BN tunggu hasilnya nanti - Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Santunan Kasih Kejora di hari ini - Foto NSTP/NURATIKAH ATHILYA HASSAN

KOTA TINGGI: Gesaan PAS supaya pengundi tidak mengundi calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk di kerusi yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan PH, tidak dianggap memberi kelebihan kepada BN.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata gesaan itu adalah pendekatan PAS, manakala BN akan terus bergerak secara profesional dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada calon gabungan itu.

"Itu adalah pendekatan mereka (PAS). Kita bergerak secara profesional, kita memberikan tumpuan kepada calon kita dan tentunya jika ada sokongan tambahan itu adalah lebih baik.

"Kita mahu melihat pencapaiannya pada 11 hari bulan nanti (hari mengundi) apabila peti undi dibuka. Itulah bukti nyata sama ada apa yang mereka katakan itu benar atau sebaliknya," katanya pada sidang media Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Santunan Kasih Kejora di Lotus Desaru di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Media sebelum ini melaporkan, PAS menggesa pengundi tidak memberikan undi kepada calon PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk di kerusi yang menyaksikan pertandingan antara BN dan PH.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata ketetapan itu antara lima resolusi yang diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Isnin lalu.

Dalam pada itu, mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa kempen PRN Johor kali ini suram, Ahmad Zahid berkata, tanggapan itu hanya persepsi sesetengah pihak kerana BN melihat suasana kempen berlangsung dengan rancak.

"Suasana suram itu mungkin tafsiran pelbagai pihak yang lain, tetapi BN merasakan bahawa kempen ini sedang rancak dijalankan.

"Apa juga pendirian gabungan lain terhadap BN adalah hak mereka sama ada untuk menyokong atau sebaliknya.

"Tentunya kita berterima kasih jika sokongan itu dapat diterjemahkan dalam bentuk undi pada 11 haribulan nanti dan membantu kemenangan calon-calon BN untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan