BH Online
Ringkasan Berita

Tun Ramli Ngah Talib imbau 'intai' persembahan P Ramlee menerusi celah dinding reput

GEORGETOWN: Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib mengimbau kenangan menyaksikan persembahan seniman Allahyarham Tan Sri P Ramlee bersama rakan-rakannya pada awal 1950-an menerusi celah dinding dewan usang di Teluk Intan, Perak yang ketika itu dikenali sebagai Teluk Anson.
Tun Ramli Ngah Talib imbau 'intai' persembahan P Ramlee menerusi celah dinding reput

Tun Ramli Ngah Talib dan isteri melawat replika rumah P Ramlee pada majlis perasmian Program Minggu Kenangan P. Ramlee: “Sepanjang Riwayatku” serta sambutan 100 Tahun Rumah Kelahiran P. Ramlee di Rumah Kelahiran P Ramlee - Foto NSTP/AURIS FAQRURAZZI

GEORGETOWN: Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib mengimbau kenangan menyaksikan persembahan seniman Allahyarham Tan Sri P Ramlee bersama rakan-rakannya pada awal 1950-an menerusi celah dinding dewan usang di Teluk Intan, Perak yang ketika itu dikenali sebagai Teluk Anson.

Beliau berkata suasana menjadi gamat apabila beliau cuba mengopek sedikit lubang pada papan kayu yang sudah reput itu untuk melihat persembahan P Ramle dengan lebih jelas.

"Saya lihat orang begitu ramai dalam dewan usang tersebut dan saya tidak dapat menemui jalan untuk memasukinya rupa-rupanya ada pertunjukan rombongan daripada P Ramlee.

"Jadi saya dan tiga atau empat orang kawan berusaha melihatnya melalui celah-celah dan lubang-lubang papan dinding dewan itu dan kami dapat melihat Allahyarham P Ramlee sedang mempersembahkan nyanyian.

"Kemudian, untuk memperluaskan lagi penglihatan, saya mengopek sedikit lubang papan kayu sebelun papan itu patah dan mengeluarkan bunyi lalu menarik perhatian penjaga dewan yang kemudiannya mengejar kami sehingga kami bertempiaran lari," katanya dalam ucapan ringkas selepas merasmikan Minggu Kenangan P Ramlee 2026: Sepanjang Riwayatku dan Sambutan 100 Tahun Rumah Kelahiran P Ramlee di sini, hari ini.

Beliau berkata meskipun hanya dapat melihat persembahan tokoh kegemarannya dari celah papan dinding, pengalaman itu kekal menjadi antara kenangan paling bermakna dalam hidupnya membabitkan seniman pujaan hatinya itu.

Beliau turut berkongsi satu lagi kisah yang membabitkan isterinya, Toh Puan Noora Ashikin Raja Abdullah yang ketika itu bertugas sebagai pegawai kredit di Bank Bumiputera Malaysia Berhad di Kuala Lumpur pada awal tahun 1973.

Menurut beliau, ketika itu P Ramlee hadir ke bank bersama seorang rakan bagi urusan permohonan kemudahan kredit dan isterinya secara kebetulan bertugas di kaunter dan mengendalikan urusan berkenaan.

Katanya, ketika itu P Ramlee datang dengan membawa beg bimbit bersaiz kecil sudah kelihatan lebih berisi berbanding zaman mudanya, namun tetap membawa aura seorang seniman yang disegani ramai.

"Masa itu P Ramlee sudah tidak semuda ketika beliau mula-mula merantau ke Singapura. Ketika beliau berada di kaunter, kakitangan lain berlari melihat dari celah tingkap dan pintu kerana teruja mahu melihat P Ramlee.

"Mereka kata, isteri saya bertuah kerana dapat berjumpa P Ramlee walaupun isteri saya semasa itu berasa kesal kerana tidak berpeluang merakam gambar kerana pada masa itu tidak ada kamera atau telefon bimbit yang mudah dibawa seperti hari ini," katanya.

Terdahulu, pelbagai pengisian program disusun sepanjang penganjuran Minggu Kenangan P Ramlee 2026 yang berlangsung selama tiga hari sehingga 4 Julai ini antaranya Bicara Sejarah dan Kenangan Rumah Kelahiran P Ramlee, majlis bacaan yasin dan tahlil arwah, Ceramah Seni Dakwah Seniman serta Pameran 100 Lampu.

Ramli menyifatkan impak dan pengaruh yang ditinggalkan P Ramlee sangat luar biasa sehingga mampu menembusi sempadan zaman dan generasi.

Beliau berkata, kehebatan Allahyarham boleh disamakan dengan tokoh sejarah Melayu terkenal seperti Laksamana Hang Tuah yang namanya terus diingati sehingga ke hari ini.

"Selain daripada Hang Tuah, tidak ada mana-mana tokoh dalam sejarah yang telah membawa pengaruhnya merentasi dan menembusi zaman dan generasi," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan