KOTA BHARU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperketatkan kawalan di sempadan susulan kejadian letupan bom yang mencederakan dua rakyat Malaysia di Tak Bai, Narathiwat, Isnin lalu.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, walaupun insiden itu berlaku di luar sempadan negara tapi aspek keselamatan tetap difokuskan sama ada kepada anggota yang bertugas atau rakyat negara ini.
Beliau berkata, komunikasi serta pertukaran maklumat sentiasa dibuat bersama pihak berkuasa Thailand dan sebarang perkara berkaitan keselamatan rakyat memang diberi keutamaan.
"Tanggungjawab kita teruskan dan apa saja yang berlaku di sekitar, kita ambil maklum malah akan memperketatkan lagi kawalan, keselamatan dan dalam masa yang sama berikan tumpuan kepada membanteras aktiviti penyeludupan.
"Kerjasama dengan tentera Thailand juga sentiasa berterusan dan kita ada Jawatankuasa Sempadan yang biasanya isu-isu yang berbangkit kalau membabitkan kedua-dua pihak, kita akan bincangkan bersama.
"Kalau ada apa-apa kes, memang hubungan kita agak baik melalui ASEAN malah menerusi Jawatankuasa Sempadan, selalunya kita bertukar-tukar maklumat untuk pastikan keselamatan rakyat diberi keutamaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan letupan bom yang berlaku di jalan di daerah Tak Bai, Narathiwat, pada Isnin lalu mengakibatkan kenderaan dinaiki dua rakyat Malaysia itu rosak teruk.
Dua mangsa, Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, dan Muhammad Yusri Udin, 38, yang ke Narathiwat untuk bercuti, cedera dalam kejadian itu sebelum dibawa pulang ke Malaysia untuk menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.
Kedua-dua mereka sebelum itu menerima rawatan di Hospital Narathiwat sebelum dipindahkan ke HRPZ II untuk rawatan lanjut.
Terdahulu Adly hadir ke Kem Desa Pahlawan, Ketereh, di sini dan merasmikan Jelajah Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2026 Edisi Pantai Timur.
Yang turut hadir ialah Pengerusi LTAT, Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal.
























