BH Online
Ringkasan Berita

Luqman Adrine dilantik semula Pengerusi MNPA

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Operasi The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Luqman Adrine Ja’afar dilantik semula selaku Pengerusi Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA) bagi penggal 2026-2028.
Luqman Adrine dilantik semula Pengerusi MNPA

Luqman Adrine Ja’afar. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Operasi The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Luqman Adrine Ja'afar dilantik semula selaku Pengerusi Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA) bagi penggal 2026-2028.

Turut dilantik semula pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-53 MNPA semalam, adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group, Chan Seng Fatt selaku Setiausaha Kehormat dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nanyang, Liew Sam Ngan selaku Bendahari Kehormat.

Luqman Adrinie berkata, pihaknya berhasrat memperkukuhkan peranan penerbit secara bersama di negara ini seiring perkembangan media pada masa hadapan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada ahli atas kepercayaan yang tidak berbelah bahagi. Fokus kami bagi penggal ini adalah untuk memperkukuh suara kolektif penerbit Malaysia dan menyesuaikan diri secara proaktif dengan cabaran era media moden.

"Akhirnya, matlamat kami adalah untuk memastikan kewartawanan yang boleh dipercayai dan berimpak tinggi terus berkembang maju di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Luqman Adrinie berkata, beliau akan dibantu Seng Fat yang akan terus memainkan peranan dalam menyelia pentadbiran dan menggerakkan inisiatif strategik MNPA, manakala Sam Ngan memantau pengurusan kewangan persatuan.

"Barisan pegawai yang dilantik semula ini akan terus memimpin MNPA dalam memajukan kepentingan industri penerbitan akhbar Malaysia serta memperkukuh kerjasama antara ahli dan pihak berkepentingan.

"Pelantikan semula mereka mencerminkan keyakinan terhadap kepemimpinan, komitmen dan dedikasi mereka dalam membimbing persatuan mengharungi landskap media yang sentiasa berubah," katanya.

MNPA adalah persatuan yang dianggotai penerbit akhbar di Malaysia yang berperanan mempromosi, melindungi dan mewakili kepentingan serta kebajikan industri dan ahlinya secara umum.

Fungsi utama MNPA adalah menyediakan platform bagi penerbit untuk menggalakkan penubuhan industri akhbar yang mantap dan bertanggungjawab di Malaysia.

Ditubuhkan sejak 1971, MNPA mewakili kebanyakan penerbit akhbar arus perdana di seluruh Malaysia yang memainkan peranan penting dalam pembinaan negara dan pembangunan komuniti.

Ahli MNPA terdiri daripada penerbit dari Semenanjung dan Malaysia Timur yang menerbitkan akhbar terkenal seperti NST, Berita Harian, Harian Metro, The Star, The Sun, The Edge, Sinar Harian, Sin Chew Daily, China Press, Nanyang Siang Pau, See Hua Daily News, United Daily News dan Makkal Osai.

Video Terkini

Berita Berkaitan