BH Online
Ringkasan Berita

Penarikan penggantungan perlembagaan NAFAS dipertimbang selepas langkah pemulihan, pembaharuan capai matlamat - Mat Sabu

KUALA LUMPUR: Penarikan balik penggantungan perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan dipertimbangkan setelah Pendaftar Pertubuhan Peladang berpuas hati segala langkah pembaharuan dilaksanakan mencapai matlamatnya.
Penarikan penggantungan perlembagaan NAFAS dipertimbang selepas langkah pemulihan, pembaharuan capai matlamat - Mat Sabu

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS). - NSTP/ Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Penarikan balik penggantungan perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan dipertimbangkan setelah Pendaftar Pertubuhan Peladang berpuas hati segala langkah pembaharuan dilaksanakan mencapai matlamatnya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ini termasuk menilai sama ada langkah pembaharuan diambil berjaya memperkukuh tadbir urus, integriti, pematuhan dan kelestarian organisasi secara menyeluruh.

"Sehingga kini, pentadbiran NAFAS masih diuruskan pentadbir yang dilantik Pendaftar Pertubuhan Peladang di bawah Seksyen 23 Akta 109 bagi melaksanakan fungsi dan tanggungjawab Ahli Jemaah Pengarah dan dibantu oleh Pengurusan NAFAS sedia ada bagi memastikan

kesinambungan operasi.

"Bagi tempoh pemulihan, KPKM bersama LPP akan terus menilai kemajuan pelaksanaan reformasi dari semasa ke semasa," katanya melalui jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai status terkini penggantungan Perlembagaan NAFAS yang hampir memasuki tahun kedua serta kekangan dihadapi untuk memulihkan institusi berkenaan dengan segera.

Untuk rekod, Perlembagaan NAFAS digantung berkuat kuasa 1 November 2024 di bawah subseksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 [Akta 109] oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu.

Mengenai Pelan Reformasi NAFAS 2.0, beliau berkata ia sedang dilaksanakan secara berperingkat merangkumi aspek tadbir urus dan kepimpinan organisasi, perundangan dan pematuhan, pengurusan dana dan perolehan, model perniagaan dan kelestarian kewangan serta sistem pemantauan dan audit

dalaman.

"Operasi utama NAFAS termasuk pembekalan baja, input pertanian dan perkhidmatan kepada anggota Pertubuhan Peladang terus berjalan seperti biasa bagi memastikan agenda keterjaminan makanan negara tidak terjejas;

"Bagi memperkukuh pemantauan pelaksanaan reformasi, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menubuhkan Jawatankuasa Pemantau Reformasi Tatakelola NAFAS yang berperanan memantau kemajuan pelaksanaan Pelan Reformasi NAFAS 2.0 serta mengemukakan syor penambahbaikan bagi memastikan agenda pemulihan dan pengukuhan tadbir urus dilaksanakan secara berkesan, telus dan berakauntabiliti.

"Pada masa sama, kerajaan melalui KPKM serta LPP sedang melaksanakan semakan dan pindaan terhadap peruntukan perundangan dan peraturan berkaitan yang diperlukan bagi memperkukuh tadbir urus, integriti dan keberkesanan pengurusan NAFAS pada masa hadapan," katanya.

Mengulas proses pemulihan NAFAS, Mohamad berkata ia perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berhemah bagi memastikan reformasi yang sedang dilaksanakan mencapai objektif ditetapkan serta dapat menjamin kelestarian organisasi dalam jangka panjang.

Dalam hubungan ini, katanya antara perkara utama masih memerlukan perhatian dan tindakan lanjut adalah penyempurnaan semakan dan pindaan terhadap peruntukan perundangan dan peraturan berkaitan Pertubuhan Peladang bagi memperkukuh kerangka tadbir urus dan pematuhan organisasi.

"(Turut perlu diberi perhatian) penyelesaian prosiding semakan kehakiman yang sedang berjalan di Mahkamah, yang mempunyai implikasi terhadap beberapa aspek pentadbiran dan hala tuju pemulihan NAFAS.

"Penilaian keberkesanan pelaksanaan reformasi yang sedang dilaksanakan, termasuk syor-syor penambahbaikan yang dikemukakan melalui mekanisme pemantauan yang telah diwujudkan bagi memastikan semua langkah pembaharuan mencapai hasil yang dihasratkan.

"Bagi tempoh pemulihan, KPKM bersama LPP akan terus menilai kemajuan pelaksanaan reformasi dari semasa ke semasa," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan