BH Online
Ringkasan Berita

Sarjan polis maut, tiga cedera kenderaan rempuh tayar lori tercicir atas lebuh raya

BUKIT MERTAJAM: Seorang anggota polis berpangkat sarjan maut manakala tiga individu lain cedera selepas kenderaan dinaiki mereka melanggar sebiji tayar lori yang tercicir di Kilometer 140.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), awal pagi tadi.
Sarjan polis maut, tiga cedera kenderaan rempuh tayar lori tercicir atas lebuh raya

Tayar lori di atas lebih raya yang dilanggar mangsa menyebabkan seorang maut dan tiga cedera.

BUKIT MERTAJAM: Seorang anggota polis berpangkat sarjan maut manakala tiga individu lain cedera selepas kenderaan dinaiki mereka melanggar sebiji tayar lori yang tercicir di Kilometer 140.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), awal pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 6 pagi membabitkan sebuah kereta dan motosikal.

"Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Juru ke Seberang Jaya dipercayai melanggar tayar di tengah jalan disyaki tercicir daripada sebuah lori yang masih belum dikenal pasti menyebabkan kenderaan itu terbabas ke bahu kiri jalan.

"Pada masa yang sama sebuah motosikal dari arah sama turut melanggar tayar berkenaan menyebabkan penunggangnya terjatuh dan terseret di atas permukaan jalan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dennis berkata kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal berkenaan yang juga seorang anggota polis berusia 40 tahun dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu katanya, pemandu bersama dua penumpang kereta yang cedera dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik HSJ mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah di bahagia kepala akibat kemalangan jalan raya.

Beliau turut menggesa pengguna jalan raya supaya sentiasa memeriksa dan memastikan muatan serta komponen kenderaan masing-masing berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan objek tercicir yang boleh mengancam nyawa pengguna lain.

Dennis berkata, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kini mengesan pemilik tayar lori yang menjadi punca utama kemalangan itu.

"Sehubungan itu, orang ramai atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau memiliki rakaman kamera papan pemuka diminta tampil membantu siasatan.

"Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aliza Fatim Ismail di talian 017-404 6215 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Difahamkan, jenazah anggota polis berpangkat Sarjan dikenali sebagai Norshairul Subkri Salim telah dibawa pulang ke kampung halamannya dan selamat disemadikan di Kampung Bukit Chabang, Padang Besar, Perlis petang ini.

Video Terkini

Berita Berkaitan