BH Online
Ringkasan Berita

PRN Johor: Calon PH diminta elak 'salam kaut'

JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR dinasihat lebih berhati-hati ketika menghadiri majlis kenduri atau keraian dan mengelak membudayakan ‘salam kaut’ terutama sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
PRN Johor: Calon PH diminta elak 'salam kaut'

Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa. - BERNAMA/Fail

JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR dinasihat lebih berhati-hati ketika menghadiri majlis kenduri atau keraian dan mengelak membudayakan 'salam kaut' terutama sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menganggap itu satu budaya biasa di Johor sebagai menghargai tuan rumah yang menganjurkan majlis kenduri, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustapha, bagaimanapun mahu amalan sedemikian dielakkan seketika sepanjang tempoh kempen PRN.

"Ia boleh menimbulkan salah anggap. Sungguhpun niat calon itu baik untuk menghargai tuan rumah, budaya berkenaan boleh dijadikan bahan provokasi pihak tertentu untuk memburukkan calon lawan.

"Saya tahu ini boleh menimbulkan polemik. Jadi saya nasihatkan calon supaya lebih berhati-hati. Ini masa orang ramai melihat tingkah laku dan cara kempen kita," katanya pada sidang media ketika membantu calon PH DUN Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkempen, di sini hari ini.

Katanya, amalan sedemikian mungkin perkara biasa dilakukan seperti ketika jemputan ke kenduri, yang dirujuk penduduk Johor sebagai 'salam kaut' dalam menyantuni rakan atau pihak yang menjemput.

"Tapi waktu PRN, perlu lebih berhati-hati khususnya kepada calon PH. Tatacara kempen lain dan saya rasa sudah ada peraturan yang jelas. Kita sudah terima pesanan baik dari pimpinan pusat atau negeri mengenai peraturan dan tatacara itu," katanya.

Sebelum ini, tular video seorang calon PH didakwa memberi 'salam kaut' kepada rumah rumah ketika menghadiri majlis kenduri kahwin sehingga menimbulkan pertikaian dalam kalangan netizen di media sosial.

Dr Zaliha berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan di Parlimen semalam, sudah mengulangi ketegasannya mengenai tatacara berkempen yang tidak boleh melibatkan agensi kerajaan dan ia terus terpakai di PRN Johor.

Mengenai fokus Barisan Nasional (BN) yang begitu bertumpu kepada kempen di utara berbanding selatan negeri ini, beliau berkata, ia menunjukkan parti itu mula gusar dengan kebangkitan bakal PH lakukan dalam PRN kali ini.

"Masing-masing ada strategi. Di bahagian utara Johor, walaupun kita tak dapat kerusi DUN yang agak selesa pada (PRN) 2022, tapi ketika PRU (Pilihan Raya Umum 2022), kita menang banyak kerusi di utara.

"Ini termasuk di kawasan saya (Parlimen) Segamat, Labis, Sekijang, semuanya dimenangi PH. Parlimen Ledang dan Muar juga, walaupun Muar bukan PH, iaitu MUDA, tapi juga bukan BN. Saya kira, mungkin mereka (BN) merasakan di utara Johor, sokongan masih rendah.

"Jadi mereka beri tumpuan sebelah sana. Bagi PH, kita tak tumpukan utara saja, tapi seluruh Johor. Kita sudah nampak gelombang rakyat selatan dan seluruh Johor. Apabila dihadiri pemimpin kita, ada sokongan rakyat dan kalau turun ke kawasan, sokongan itu agak konsisten," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan