BH Online
Ringkasan Berita

Kumpulan terakhir 258 jemaah haji selamat tiba ke tanah air

SEPANG: Operasi Haji 1447 Hijrah secara rasminya berakhir hari ini dengan kepulangan kumpulan terakhir 258 jemaah haji Malaysia, sekali gus melengkapkan perjalanan ibadah yang disifatkan berjalan lancar meskipun berdepan cabaran konflik di Asia Barat.
Kumpulan terakhir 258 jemaah haji selamat tiba ke tanah air

Dr Zulkifli Hasan menyambut ketibaan kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia di KLIA. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

SEPANG: Operasi Haji 1447 Hijrah secara rasminya berakhir hari ini dengan kepulangan kumpulan terakhir 258 jemaah haji Malaysia, sekali gus melengkapkan perjalanan ibadah yang disifatkan berjalan lancar meskipun berdepan cabaran konflik di Asia Barat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kerajaan bersyukur apabila semua jemaah haji Malaysia selamat pergi dan pulang tanpa sebarang peningkatan kos akibat situasi geopolitik semasa.

Menurutnya, sebaik menerima maklumat mengenai konflik di Asia Barat, kerajaan segera menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau perkembangan dan merangka langkah mitigasi bagi memastikan operasi haji tahun ini tidak terjejas.

Katanya, hasil kerjasama erat antara kerajaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Lembaga Tabung Haji (TH) dan pelbagai agensi berkaitan, operasi haji tahun ini berjalan baik.

"Malah, Malaysia turut menerima Anugerah Labaitum Diamond Award yang mengiktiraf kecemerlangan pengurusan haji negara sebagai antara yang terbaik di dunia," katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan terakhir jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Zulkifli berkata, kejayaan operasi haji tahun ini turut disokong oleh komitmen petugas TH, Kementerian Kesihatan, syarikat penerbangan, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi lain.

Beliau turut memuji disiplin tinggi jemaah haji Malaysia yang disifatkan sebagai faktor penting kejayaan pengurusan haji negara hasil latihan dan kursus intensif yang disediakan TH.

Menurutnya, walaupun menerima pengiktirafan antarabangsa, TH tetap akan menjalankan penilaian menyeluruh dan sesi post-mortem bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan untuk musim haji akan datang.

Beliau berkata, antara penambahbaikan yang diperkenalkan tahun ini ialah sistem MyNIS bagi memudahkan pengurusan visa, penyediaan tilam sofa di kawasan masyair, khemah yang lebih selesa, perkhidmatan bas 24 jam antara penginapan dan Masjidil Haram serta penubuhan pasukan 'Semut Hitam' bagi membantu jemaah.

Selain itu, katanya, TH turut memperkenalkan perkhidmatan kaunseling bagi menjaga kesihatan mental jemaah serta melaksanakan inisiatif Haji Lestari melalui program kitar semula kain ihram dan kempen kebersihan.

Video Terkini

Berita Berkaitan