KOTA TINGGI: Perikatan Nasional (PN) ditentang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Johor, tetapi calon kedua-dua parti bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili menunjukkan politik matang dengan berkempen bersama-sama di FELDA Bukit Easter, petang semalam.
Malah, calon PH, Amirul Husni Onn dan lawannya dari PN, Rasman Ithnain dilihat duduk semeja dan berbincang diperhatikan petugas parti lain.
Mereka juga dilihat berjalan beriringan bertemu pengunjung dan peniaga pasar malam di kawasan itu.
Sebaik selesai menyantuni pengundi, kedua-duanya mengambil peluang duduk semeja sambil berbual santai.
Bagi Amirul, 29, politik matang bukan mengenai siapa paling kuat mengkritik lawan sebaliknya mereka yang mampu membawa penyelesaian kepada masalah rakyat.
Katanya, rakyat hari ini semakin muak dengan politik perpecahan dan mahukan pemimpin yang sanggup mengenepikan perbezaan demi kepentingan dan manfaat bersama.
"Rakyat mahu pemimpin yang boleh mengenepikan perbezaan dan duduk semeja walaupun berlainan pendapat serta pandangan tetapi meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
"Bagi saya, pilihan raya ini bukan sekadar pertandingan individu atau parti, sebaliknya pertandingan idea, khidmat dan hala tuju yang ditawarkan kepada rakyat," katanya ketika ditemui selepas program bertemu pengundi di sini, semalam.
Senada dengan Amirul, Rasman, 59, berpandangan, sudah tiba masanya budaya politik negara bergerak ke arah lebih matang dengan mengembalikan kesuburan demokrasi yang memberi ruang kepada rakyat membuat pilihan berdasarkan idea dan kemampuan calon.
Katanya, persaingan pilihan raya seharusnya menjadi medan menawarkan idea dan khidmat terbaik kepada rakyat bukannya mencetuskan permusuhan antara calon atau penyokong.
"Kita hendak bergaduh untuk apa? Kita perlu ajak rakyat berfikir.
"Apabila rakyat diberi ruang menilai sendiri misi setiap calon, mereka boleh membuat keputusan lebih matang," katanya.
Beliau mengesyorkan, semua calon yang bertanding dapat diketengahkan dalam satu program atau pentas sama bagi memudahkan pengundi menilai sendiri misi, perancangan dan penyelesaian yang ditawarkan.
"Kalau boleh saya berhasrat semua calon duduk atas satu pentas bersama pengundi. Mereka boleh bertanya terus kepada setiap calon apa misi dan perancangannya.
"Secara tidak langsung, pengundi dapat membuat perbandingan kerana hari ini mereka bukan lagi melihat parti semata-mata, tetapi calon serta kemampuan mereka menyelesaikan masalah," katanya.
Menurutnya, pendekatan itu juga dapat membantu terutama golongan muda yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai banyak masa untuk menghadiri kempen setiap parti secara berasingan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Rasman dan Amirul akan mencabar penyandang kerusi DUN Sedili dari Barisan Nasional (BN), Muszaide Makmor dalam saingan tiga penjuru.
Persaingan DUN Sedili sengit apabila Rasman kembali dalam misi merebut kerusi yang pernah diwakilinya selama tiga penggal bermula 2008 atas tiket UMNO sebelum menyertai BERSATU pada 2018.
























