BH Online
Ringkasan Berita

PRN Johor: Calon DUN Sedili berbeza parti, tiada masalah duduk semeja

KOTA TINGGI: Duduk semeja sambil bertukar pandangan tanpa sebarang provokasi.
PRN Johor: Calon DUN Sedili berbeza parti, tiada masalah duduk semeja

Calon Perikatan Nasional (PN), Rasman Ithnain (kanan) serta calon Pakatan Harapan (PH), Amirul Husni Onn bagi DUN sedili duduk semeja ketika berkempen di pasar malam Felda Bukit Easter, petang semalam. - Foto NSTP/ Mahaizura Abd Malik

KOTA TINGGI: Duduk semeja sambil bertukar pandangan tanpa sebarang provokasi.

Itu teladan politik matang ditunjukkan dua calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili semasa berkempen bertemu pengundi di FELDA Bukit Easter, petang semalam.

Keharmonian itu dapat disaksikan antara calon Perikatan Nasional (PN), Rasman Ithnain serta calon Pakatan Harapan (PH), Amirul Husni Onn yang dilihat jalan beriringan bertemu pengunjung dan peniaga pasar malam di kawasan itu.

Sebaik selesai menyantuni pengundi, mereka duduk semeja sambil berbual santai sekali gus membuktikan perbezaan parti bukan penghalang untuk saling menghormati.

Bagi Amirul Husni, 29, politik matang bukan mengenai siapa paling kuat mengkritik lawan, sebaliknya yang mampu membawa penyelesaian kepada masalah rakyat.

Katanya, rakyat hari ini semakin muak dengan politik perpecahan dan mahukan pemimpin yang sanggup mengetepikan perbezaan demi kepentingan dan manfaat bersama.

"Rakyat mahu pemimpin yang boleh mengetepikan perbezaan dan duduk semeja walaupun berlainan pendapat serta pandangan, tetapi meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

"Bagi saya, pilihan raya ini bukan sekadar pertandingan individu atau parti, sebaliknya pertandingan idea, khidmat dan hala tuju yang ditawarkan kepada rakyat," katanya ketika ditemui.

Rasman, 59, pula berpandangan sudah tiba masanya budaya politik negara bergerak ke arah lebih matang dengan mengembalikan kesuburan politik demokrasi yang memberi ruang kepada rakyat membuat pilihan berdasarkan idea dan kemampuan calon.

Katanya, persaingan pilihan raya seharusnya menjadi medan menawarkan idea dan khidmat terbaik kepada rakyat, bukannya mencetuskan permusuhan antara calon atau penyokong.

"Kita hendak bergaduh untuk apa? Kita perlu ajak rakyat berfikir. Apabila rakyat diberi ruang menilai sendiri misi setiap calon, mereka boleh membuat keputusan lebih matang," katanya.

Beliau mengesyorkan semua calon yang bertanding dapat diketengahkan dalam satu program atau pentas sama bagi memudahkan pengundi menilai sendiri misi, perancangan dan penyelesaian yang ditawarkan.

"Kalau boleh saya berhasrat semua calon duduk atas satu pentas bersama pengundi yang boleh bertanya terus kepada setiap calon apa misi dan perancangan mereka.

"Secara tidak langsung, pengundi dapat membuat perbandingan kerana hari ini mereka bukan lagi melihat parti semata-mata, tetapi calon serta kemampuan menyelesaikan masalah," katanya.

Menurutnya, pendekatan itu juga dapat membantu masyarakat, terutama golongan muda yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai banyak masa untuk menghadiri kempen setiap parti secara berasingan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Rasman dan Amirul akan mencabar penyandang kerusi DUN Sedili daripada Barisan Nasional (BN), Muszaide Makmor dalam saingan tiga penjuru.

Rasman pernah mewakili Sedili selama tiga penggal bermula 2008 atas tiket UMNO sebelum menyertai BERSATU pada 2018.

Video Terkini

Berita Berkaitan