JOHOR BAHRU: Tiada lagi isu boikot calon Pakatan Harapan (PH) berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas susulan keputusan PH meletak calon 'payung terjun' di kerusi berkenaan.
Sebaliknya, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata tumpuan mereka kini untuk memenangkan Sharon Teo, yang mewakili AMANAH sebagai calon PH di kawasan itu.
"Tiada isu boikot dan tumpuan sekarang adalah memenangkan calon PH daripada AMANAH, Sharon Teo," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, sambutan kempen PH setakat ini menggalakkan dan menggesa supaya semua petugas bertumpu kepada kempen bertemu pengundi.
"Merayu untuk keluar mengundi beramai-ramai pada (hari mengundi) 11 Julai ini," katanya mengulas laporan media sebelum ini bahawa AMANAH Pasir Gudang mahu memboikot calon PH yang disifatkan mereka sebagai calon luar.
Penolong Setiausaha AMANAH Pasir Gudang, Haini Harun dipetik berkata, keputusan memboikot calon berkenaan dibuat bersama kepimpinan AMANAH kawasan selepas surat bantahan kepada kepimpinan negeri dan pusat tidak mendapat maklum balas.
Pencalonan Sharon baru-baru ini menjadi tumpuan kerana menjadi bukan Islam yang dicalonkan oleh AMANAH di kerusi majoriti Melayu itu.
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, biarpun parti itu terbuka kepada calon bukan Islam dan bukan Melayu, ini baru kali kedua penampilan calon Cina mewakili mereka dan menyifatkan ia sebagai langkah berani.
DUN Permas menyaksikan saingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di antara Sharon atau nama sebenarnya, Teo Siew Hui menentang calon BN, Baharudin Mohamed Taib; Dr Zamil Najwah (BERSAMA) serta T Vela (Perikatan Nasional).
Pada PRN Johor Mac 2022, Baharudin menang di kerusi berkenaan dengan majoriti 7,926 undi dalam siangan lima penjuru ketika itu.
























