BH Online
Ringkasan Berita

'Kerajaan Pusat perlu pulangkan segera kekurangan peruntukan RM2.8 bilion diterima Pulau Pinang' - Guan Eng

GEORGETOWN: Penasihat DAP, Lim Guan Eng, menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memulangkan segera kekurangan peruntukan berjumlah RM2.8 bilion yang didakwa dialami Pulau Pinang bagi tempoh 2023 hingga 2025.
'Kerajaan Pusat perlu pulangkan segera kekurangan peruntukan RM2.8 bilion diterima Pulau Pinang' - Guan Eng

Penasihat DAP, Lim Guan Eng. Gambar fail

GEORGETOWN: Penasihat DAP, Lim Guan Eng, menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memulangkan segera kekurangan peruntukan berjumlah RM2.8 bilion yang didakwa dialami Pulau Pinang bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Kerajaan Persekutuan perlu mengguna pakai formula 'keadilan untuk semua' dalam pengagihan peruntukan kepada negeri, selaras prinsip kesamarataan di sisi undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan.

Merujuk kepada angka yang dibentangkan Anwar di Parlimen semalam, Guan Eng berkata, Pulau Pinang menyumbang secara purata RM10.7 bilion kepada Kerajaan Persekutuan bagi tempoh 2023 hingga 2025, namun hanya menerima RM7.9 bilion dalam bentuk peruntukan.

Beliau berkata, Selangor dan Pulau Pinang adalah dua negeri yang menerima peruntukan lebih rendah daripada jumlah sumbangan kewangan mereka kepada Kerajaan Persekutuan dalam tempoh berkenaan.

Katanya, Kedah yang menyumbang RM3.7 bilion menerima RM9.5 bilion peruntukan Persekutuan, manakala Johor menyumbang RM14 bilion dan menerima RM16 bilion.

"Tiada justifikasi untuk Pulau Pinang menerima peruntukan lebih rendah berbanding Kedah sedangkan negeri ini menyumbang jauh lebih besar kepada Kerajaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Anwar ketika di Dewan Rakyat menolak dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan mengagihkan peruntukan pembangunan secara tidak adil kepada negeri.

Beliau berkata, hampir semua negeri, kecuali Selangor dan Pulau Pinang, menerima peruntukan Persekutuan yang melebihi hasil cukai disumbangkan kepada Kerajaan Persekutuan.

Guan Eng berkata, kekurangan peruntukan diterima Pulau Pinang sepanjang tempoh tiga tahun itu berjumlah RM2.8 bilion dan menggesa Anwar menangani ketidakseimbangan berkenaan dengan segera.

Katanya, langkah itu akan mencerminkan penghargaan terhadap sokongan yang diberikan oleh 1.8 juta penduduk Pulau Pinang kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan mewujudkan formula pengagihan peruntukan lebih adil pada masa depan bagi memastikan Pulau Pinang tidak terus menerima peruntukan lebih rendah berbanding sumbangannya kepada Kerajaan Persekutuan jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

Video Terkini

Berita Berkaitan