BH Online
Ringkasan Berita

Jadi panglima dalam 'The Keris', Sanusi ajak rakyat sokong filem angkat warisan seni silat

ALOR SETAR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengajak generasi muda menyelami sejarah, budaya dan warisan Melayu melalui seni silat dalam filem The Keris yang turut menampilkan bakat lakonan Menteri Besar Kedah itu dan bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai esok.
Jadi panglima dalam 'The Keris', Sanusi ajak rakyat sokong filem angkat warisan seni silat

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama penerbit, Dr T Matheyalagan (kiri) pada tayangan perdana filem The Keris di sebuah pusat beli-belah di Alor Setar. - NSTP/ WAN NABIL NASIR

ALOR SETAR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengajak generasi muda menyelami sejarah, budaya dan warisan Melayu melalui seni silat dalam filem The Keris yang turut menampilkan bakat lakonan Menteri Besar Kedah itu dan bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai esok.

Beliau berkata, filem berkenaan bukan sekadar hiburan, tetapi juga platform untuk memperkenalkan budaya dan identiti bangsa kepada generasi muda.

"Saya harap generasi muda dapat mengenali dan mempelajari sesuatu daripada filem ini kerana setiap bangsa ada seni, budaya, adat dan tradisinya sendiri.

"Silat juga mempunyai pelbagai aliran seperti Silat Gayong, Silat Cekak, Silat Pusaka dan Silat Pulut yang menjadi sebahagian daripada warisan bangsa," katanya pada sidang media selepas tayangan perdana The Keris di sebuah pusat beli-belah, di sini semalam.

Turut hadir, penerbit filem itu, Dr T Matheyalagan dan pengarahnya, Viknes Perrabu.

Muhammad Sanusi yang turut membuat penampilan khas sebagai watak panglima dalam filem itu, berkata pembabitannya dalam karya berkenaan bertujuan mempromosi silat sebagai warisan seni mempertahankan diri masyarakat Melayu.

Katanya, penerbitan filem itu juga menjadi lambang perpaduan apabila diterbitkan dan diarahkan oleh penggiat seni berbangsa India.

"Saya bangga kerana penerbit, pengarah semua orang India, tetapi yang ditonjolkan seni silat Melayu. Saya harap ini jadi satu permulaan yang baik untuk saling mengenali, saling menghormati dan hidup aman damai antara masyarakat berbilang kaum di negara ini," katanya.

Beliau berkata, setiap kaum mempunyai identiti seni mempertahankan diri tersendiri seperti shaolin bagi masyarakat Cina dan silambam bagi masyarakat India, sekali gus mencerminkan kekayaan budaya negara.

Muhammad Sanusi turut mengajak orang ramai menyokong filem tempatan dengan hadir ke pawagam bagi menyaksikan karya yang mengetengahkan seni, budaya dan tradisi masyarakat Melayu itu.

The Keris antara lain dibintangi Syazlie Syazz, Datuk Jalaluddin Hassan, Raja Azrey dan Firdaus Luthuffi.

Video Terkini

Berita Berkaitan