KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus komited memperkukuh pengurusan strategik, hala tuju dan tadbir urus yang berakauntabiliti bagi memastikan agensi itu kekal cemerlang dan diyakini masyarakat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata kecekapan pengurusan adalah penanda aras utama dalam menilai kejayaan sesebuah organisasi dan tidak seharusnya bergantung kepada pencapaian operasi semata-mata.
"Kejayaan organisasi bukan hanya diukur melalui pencapaian operasi, tetapi juga melalui kecekapan pengurusannya.
"Justeru, pengarah perlu membangunkan bakat pegawai di bawah seliaan, membentuk budaya kerja positif dan memastikan hala tuju jelas," katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengarah SPRM di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman dan barisan pengarah kanan, pengarah bahagian dan negeri SPRM.
Bagi meningkatkan kompetensi pasukan secara kolektif, Abd Halim turut mengarahkan pegawai SPRM yang sudah menjalani latihan di luar negara melaksanakan sesi perkongsian ilmu bersama warga kerja lain.
Beliau berkata, setiap pegawai perlu menyemai rasa kebersamaan yang mendalam terhadap organisasi supaya lebih proaktif dalam memperbaiki dan meningkatkan prestasi jabatan.
"Saya optimis semangat kebersamaan, akauntabiliti dan komitmen tinggi daripada seluruh warga kerja mampu memacu SPRM ke tahap lebih cemerlang," katanya.
Sementara itu, mesyuarat turut membincangkan komitmen SPRM meneruskan langkah penjimatan melalui perbelanjaan berhemah sebagai persiapan mendepani unjuran kemelesetan ekonomi kesan krisis tenaga global.
Selain itu, SPRM turut mengumumkan Pekeliling Kerahsiaan Maklumat dan Pekeliling Pengisytiharan Harta SPRM akan mula berkuat kuasa hari ini.
Susulan arahan itu, setiap pegawai diberi tempoh sebulan untuk melengkapkan pengisytiharan harta masing-masing.
























