BH Online
Ringkasan Berita

Impian inovasi hijau adik-beradik Seremban ke pentas dunia dipacu Shell LiveWire

KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan Midwest Composites Sdn Bhd (Midwest Composites) menembusi pasaran antarabangsa dengan menghasilkan bahan komposit berasaskan sisa pertanian dan bahan kitar semula, tersimpan kisah adik-beradik dari Seremban yang berani meninggalkan zon selesa demi merealisasikan impian membina syarikat berteknologi tinggi tempatan bertaraf global.
Impian inovasi hijau adik-beradik Seremban ke pentas dunia dipacu Shell LiveWire

Midwest Composites muncul antara pemenang Shell LiveWire Malaysia 2025.

KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan Midwest Composites Sdn Bhd (Midwest Composites) menembusi pasaran antarabangsa dengan menghasilkan bahan komposit berasaskan sisa pertanian dan bahan kitar semula, tersimpan kisah adik-beradik dari Seremban yang berani meninggalkan zon selesa demi merealisasikan impian membina syarikat berteknologi tinggi tempatan bertaraf global.

Pengasasnya, Sethu Raaj Munusamy, berkata keputusan meninggalkan kerjaya yang stabil di Amerika Syarikat untuk pulang ke tanah air bukanlah sesuatu yang mudah, namun beliau percaya Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju dalam bidang bahan mampan.

"Kita mempunyai sumber semula jadi, sisa pertanian dan kepakaran pembuatan. Persoalannya ialah bagaimana kita mengubah semua itu menjadi produk bernilai tinggi yang mampu bersaing di pasaran global," katanya dalam sesi temu bual dalam talian.

Sethu engaging with a client in Germany
Sethu bersama pelanggan dari Jerman.

Katanya, berbekalkan pengalaman dalam industri komposit, beliau menubuhkan Midwest Composites yang menghasilkan bahan berprestasi tinggi menggunakan gentian semula jadi, biojisim berasaskan sawit, kenaf, jut, sisa teh hijau dan bahan kitar semula untuk kegunaan industri automotif, aeroangkasa, pengangkutan awam serta infrastruktur.

Namun perjalanan membina syarikat itu bukan tanpa cabaran. Beliau berkata, pandemik COVID-19 memberi tamparan besar kepada perniagaan terdahulunya sehingga memaksanya menyusun semula strategi dan melahirkan Midwest Composites dengan fokus kepada pembangunan bahan mampan berprestasi tinggi.

"Kami mahu membuktikan, bahan berasaskan tumbuhan bukan sekadar mesra alam, tetapi mampu memenuhi standard industri dan digunakan dalam aplikasi sebenar," katanya.

Usaha itu menerima pengiktirafan apabila Midwest Composites muncul antara pemenang Shell LiveWire Malaysia 2025, sekali gus membuka peluang baharu kepada syarikat untuk memperkukuh kedudukan dalam industri.

Sethu berkata, penyertaan dalam Shell LiveWire bukan sekadar memberi pengiktirafan, malah membantu syarikat memperhalusi model perniagaan dan memperkukuh cara mereka menyampaikan nilai sebenar inovasi yang dibangunkan.

Produk
Produk mesra alam pada papan pemuka kenderaan.

"Sebagai syarikat teknologi, kami cenderung bercakap mengenai aspek teknikal. Shell LiveWire mengajar kami bagaimana menyampaikan penyelesaian yang kami tawarkan dalam bahasa yang mudah difahami pelanggan, pelabur dan rakan strategik.

"Kami juga belajar, menghasilkan produk yang mampan sahaja tidak mencukupi. Perniagaan juga perlu mampan daripada aspek kewangan, pelanggan dan pelaksanaan," katanya.

Pengalaman paling bermakna sepanjang menyertai program itu, katanya termasuk berpeluang bertemu usahawan daripada pelbagai sektor yang berkongsi cabaran hampir sama dalam membangunkan perniagaan.

"Setiap usahawan mempunyai perjalanan berbeza, tetapi kami berkongsi semangat yang sama untuk terus bertahan dan berkembang," katanya.

Hari ini, Midwest Composites mempunyai pasukan seramai 11 orang dan berjaya menembusi rantaian bekalan antarabangsa, termasuk menghasilkan komponen dalaman simulator penerbangan Airbus A350 untuk pasaran United Kingdom dan Eropah.

Syarikat itu juga sedang membangunkan projek bersama sebuah pemaju hartanah utama di Tokyo bagi menghasilkan perabot awam menggunakan bahan mampan berasaskan gentian semula jadi dan bahan kitar semula.

Inovasi diterima globalĀ 

Sethu berkata, kejayaan pihaknya membuktikan syarikat Malaysia mampu menghasilkan inovasi yang diterima pada peringkat global tanpa mengabaikan identiti tempatan.

Katanya, beliau turut menggalakkan lebih ramai usahawan muda menyertai platform pembangunan keusahawanan seperti Shell LiveWire bagi mempercepatkan pertumbuhan perniagaan.

"Jangan tunggu idea menjadi sempurna. Mulakan dahulu, fahami keperluan pelanggan dan sentiasa bersedia belajar. Peluang akan datang apabila kita berani mencuba," katanya.

Sementara itu, bagi usahawan yang mempunyai idea perniagaan berpotensi atau ingin mengembangkan perusahaan sedia ada, Shell LiveWire Malaysia 2026 kini membuka penyertaan bagi usahawan di Semenanjung Malaysia.

Program pembangunan keusahawanan itu menyediakan siri bengkel pembangunan perniagaan, latihan pembentangan, bimbingan mentor serta peluang membina rangkaian bersama pemain industri.

Pasukan
Sethu (tengah) bersama pasukannya.

"Shell LiveWire Malaysia mencari usahawan yang membawa idea dalam bidang kelestarian alam sekitar, impak sosial dan inovasi perniagaan.

"Lima pemenang dari setiap lokasi akan menerima geran benih RM10,000 sebelum berpeluang bertanding di peringkat kebangsaan untuk merebut geran tambahan RM30,000, selain menerima bimbingan selama tiga tahun serta peluang menjalin kerjasama dengan ekosistem perniagaan Shell.

"Pendaftaran bagi peserta dari Semenanjung dibuka sehingga 6 Julai 2026," katanya

Usahawan yang berminat boleh mendaftar di livewire.shell.com.my dan merebut peluang untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat seterusnya.

Video Terkini

Berita Berkaitan