BH Online
Ringkasan Berita

TikTok Shop, KPDN lancar Pesta JomLokal 2026, salur RM180 juta bantu rakyat dan usahawan

KUALA LUMPUR: Tiktok Shop Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Pesta JomLokal 2026: Lokal Jaga Lokal dengan komitmen menyalurkan bantuan dan insentif bernilai RM180 juta bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat serta mengurangkan kos operasi usahawan tempatan.
TikTok Shop, KPDN lancar Pesta JomLokal 2026, salur RM180 juta bantu rakyat dan usahawan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali melawat studio niaga secara talian selepas merasmikan Pesta JomLokal Tiktok: Lokal Jaga Lokal di The Campus, Ampang. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad.

KUALA LUMPUR: Tiktok Shop Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Pesta JomLokal 2026: Lokal Jaga Lokal dengan komitmen menyalurkan bantuan dan insentif bernilai RM180 juta bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat serta mengurangkan kos operasi usahawan tempatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata penganjuran ini mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan, platform digital, pemain industri, usahawan dan pencipta kandungan dalam memperkukuh ekosistem perdagangan digital negara.

"Kerjasama ini dijangka memperkukuh ekosistem perdagangan domestik dan membuka lebih banyak peluang kepasa produk serta jenama tempatan untuk menembusi pasaran global," katanya di majlis perasmian Pesta JomLokal 2026 di The Campus, Ampang, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Armizan berkata TikTok Shop turut melancarkan Program Jualan Ihsan RAHMAH, sekali gus menjadi platform e-dagang pertama yang bekerjasama dengan KPDN bagi memperluas pelaksanaan konsep jualan RAHMAH ke platform digital.

Beliau berkata, menerusi program itu pengguna boleh mendapatkan 75 unit simpanan stok (SKU) barangan keperluan pada harga diskaun melalui TikTok Shop daripada peruncit terpilih iaitu Hero Market dan KedaiFGV.

Bagi menjayakan inisiatif berkenaan, TikTok Shop memperuntukkan sebanyak RM180 juta bagi melaksanakan tiga langkah utama iaitu menawarkan baucar ihsan dengan diskaun sehingga 30 peratus bagi barangan keperluan terpilih, kadar komisen sifar peratus untuk 56 subkategori barangan serta pengurangan yuran platform bagi 39 subkategori lain.

Selain itu, platform berkenaan turut menyediakan rebat penghantaran sebanyak RM2 bagi setiap pesanan yang layak di seluruh negara bagi membantu mengurangkan kos pembelian dalam talian pengguna.

Armizan berkata, pendekatan itu memberi manfaat menyeluruh kepada pengguna dan penjual menerusi penawaran harga lebih berpatutan, pengurangan kos operasi serta insentif yang dapat menggalakkan pertumbuhan perniagaan.

"Kementerian akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama pemain industri bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan sektor swasta dalam usaha memartabatkan produk tempatan dan mengupayakan sara hidup rakyat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan, Kerjasama Strategik, TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz, berkata kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta membuktikan teknologi serta perdagangan digital mampu menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada cabaran kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Beliau berkata, selain membantu pengguna mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan, inisiatif berkenaan turut mengurangkan kos perniagaan yang ditanggung usahawan sekali gus memberi manfaat kepada pengguna dalam jangka panjang.

"Apabila kos operasi perniagaan dapat dikurangkan, usahawan dapat terus berkembang, menyediakan peluang pekerjaan dan menawarkan harga yang lebih kompetitif kepada pengguna.

"TikTok Shop bukan sekadar platform membeli-belah, malah menjadi ekosistem yang membina komuniti, mencetuskan idea baharu serta membuka peluang kepada lebih ramai usahawan tempatan berkembang dalam ekonomi digital," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan