KUALA LUMPUR: Institut Integriti Malaysia (IIM) berhasrat memperkukuh kerjasama strategik dengan organisasi media bagi memastikan mesej pembudayaan integriti dapat disampaikan secara lebih meluas dan berkesan kepada masyarakat khususnya generasi muda di negara ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim, berkata media bukan sekadar saluran penyebaran maklumat, malah berperanan sebagai rakan strategik bagi merapatkan jurang komunikasi, selaras pelaksanaan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) yang dilancarkan baru-baru ini.
Beliau berkata, kejayaan agenda pembudayaan integriti bergantung kepada kerjasama semua pihak, termasuk media yang berperanan penting menyampaikan naratif integriti kepada masyarakat.
"Melalui kaji selidik dijalankan sebelum ini, kita dapati masih wujud jurang komunikasi dalam penyampaian mesej berkaitan integriti.
"Justeru, media berperanan penting memastikan mesej ini dapat disampaikan dan difahami jelas oleh seluruh rakyat.
"Usaha membudayakan integriti bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau IIM semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan nilai integriti benar-benar menjadi budaya dalam kehidupan masyarakat," katanya selepas melakukan kunjungan ke Balai Berita di sini, hari ini.
Noridah berkata, pertemuan dua jam itu turut membuka ruang kepada IIM mendapat gambaran jelas mengenai ekosistem Media Prima, termasuk platform digital yang berpotensi dimanfaatkan bagi memperluaskan penyampaian mesej pembudayaan integriti.
"Kami turut membentangkan keperluan dan kumpulan sasar IIM supaya kedua-dua pihak dapat mencari titik pertemuan bagi membentuk kerjasama strategik yang mampan pada masa depan," katanya.

Noridah berkata, isu integriti kini semakin mencabar berikutan perkembangan pesat teknologi digital yang membuka ruang kepada bentuk penyelewengan baharu, berbeza cabaran terdahulu yang lebih tertumpu kepada kelemahan tadbir urus dan prosedur kerja.
Susulan itu, beliau berkata, IIM kini memberi penekanan kepada pendekatan tadbir urus insan sebagai pelengkap kepada tadbir urus organisasi yang lebih menumpukan aspek pematuhan terhadap peraturan serta penguatkuasaan.
"Kita bukan sekadar mahu orang mematuhi peraturan kerana takut dikenakan tindakan, tetapi mahu membentuk nilai integriti yang menjadi sebahagian daripada diri seseorang.
"Selain itu, pendekatan mendekati kumpulan sasar golongan muda juga perlu berubah mengikut kesesuaian, tidak boleh terlalu formal.
"IIM perlu berevolusi dari segi cara penyampaian termasuk memanfaatkan platform digital secara lebih santai," katanya.
Noridah berkata, menerusi NIES, IIM juga membangunkan modul integriti kanak-kanak dan keluarga bagi memupuk nilai integriti dalam individu sejak usia muda.
Beliau berkata, teknologi kecerdasan buatan (AI) turut dimanfaatkan bagi membantu menganalisis data, mengukur keberkesanan program dan menilai tahap kesedaran masyarakat terhadap pelbagai inisiatif pembudayaan integriti dilaksanakan.
"Fokus utama tahun ini untuk memastikan penyampaian nilai integriti itu bermula dari peringkat paling bawah iaitu kanak-kanak dan institusi keluarga.
"Jadi, mesej dan pembudayaan integriti tidak boleh bersifat bermusim, sebaliknya berterusan daripada semua pihak," katanya.
























