KUALA LUMPUR: Tindakan pemilik bangunan mengubah suai ruang bumbung sebelum dijadikan puluhan bilik sewa ibarat 'sarang burung' terbongkar dalam satu operasi bersepadu, semalam.
Lebih mengejutkan, bilik sempit bersaiz 6x4 kaki persegi dibina menggunakan papan lapis itu turut dijadikan tempat memasak, sekali gus disifatkan sebagai 'perangkap maut' berikutan risiko kebakaran yang amat tinggi.
Tindakan itu dikesan menerusi Op Sarang Burung membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pemeriksaan di tiga bangunan berasingan sekitar Jalan Tun H S Lee bermula 10 pagi mengesan binaan haram itu di bumbung bangunan tiga dan empat tingkat.
Bagi mengelak dihidu pihak berkuasa, laluan masuk ke kawasan itu dipantau kamera litar tertutup (CCTV), manakala keadaan laluannya gelap serta dipasang pintu jeriji besi berkunci yang hanya boleh diakses individu tertentu.
Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Datuk Norazam Khamis berkata pemeriksaan mendapati bukan sahaja terdapat binaan bilik baharu, malah ruang bumbung itu turut dilengkapi kemudahan tandas.
"Terdapat 27 unit bilik di tiga premis berkenaan yang disewakan kepada warga asing dengan kadar RM200 hingga RM400 sebulan bergantung kepada saiz bilik.
"Ini satu perangkap maut kerana material binaan menggunakan bahan mudah terbakar seperti papan lapis dan kayu. Tambah memburukkan keadaan, bilik turut dijadikan tempat memasak," katanya ketika ditemui selepas tamat operasi, hari ini.
Turut hadir, Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Hassan 'As'ari Omar.
Menurut Norazam, pembinaan haram dilakukan tanpa kelulusan DBKL dan dipercayai diuruskan individu yang dilantik sebagai penyelia di setiap premis.
Susulan itu, pihaknya menyita ketiga-tiga premis terbabit di bawah Operasi Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) bagi melindungi nyawa penghuni.
"Kita sudah menyerahkan notis kepada pemilik premis dan memberi tempoh tujuh hari untuk mereka merobohkan struktur haram terbabit. Jika gagal, DBKL akan mengambil tindakan perobohan," katanya.
Menurutnya, pengubahsuaian tanpa kelulusan yang mengabaikan ciri keselamatan kebakaran seumpama ini amat berbahaya kerana boleh menyebabkan penghuni terperangkap, menyukarkan operasi menyelamat serta meningkatkan risiko kematian jika berlaku kecemasan.
"Tindakan diambil mengikut Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341)," katanya.
























