KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diminta memberi pertimbangan khas kepada industri pelancongan Sabah dalam pelaksanaan subsidi diesel bersasar berikutan kebergantungan tinggi sektor itu terhadap penggunaan bahan api itu terutama di pulau dan pedalaman.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata kerajaan berkenaan perlu mengambil kira keunikan geografi Sabah yang masih mempunyai banyak kawasan yang bergantung sepenuhnya kepada diesel bagi menjana bekalan elektrik serta menggerakkan aktiviti ekonomi.
Katanya, had penggunaan diesel 200 liter sebulan tidak mencukupi dengan pihaknya menerima pelbagai aduan serta maklum balas daripada pemain industri pelancongan khususnya pengusaha resort di pulau, pengendali bot pelancongan, operator aktiviti marin dan pengusaha pelancongan.
"Kebanyakan pulau pelancongan di Sabah tidak mempunyai sambungan kepada grid elektrik, menyebabkan diesel bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan asas untuk bekalan elektrik, pengangkutan laut, logistik dan keseluruhan operasi harian.
"Sebahagian besar pengusaha pelancongan pula tidak layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan keadaan ini membuatkan golongan terbabit terpaksa menanggung peningkatan kos operasi.
"Dalam keadaan jumlah pelawat belum mencapai tahap optimum, peningkatan kos operasi terus menghakis margin keuntungan, menjejaskan aliran tunai serta mengurangkan hasil perniagaan," katanya melalui kenyataan.
Menurut Jafri, sektor pelancongan perlu dipertimbang untuk dimasukkan dalam mekanisme subsidi diesel bersasar atau diwujudkan mekanisme khas lebih bersesuaian bagi pengusaha pelancongan di pulau serta kawasan pedalaman.
Katanya, surat rasmi mengenai perkara itu sudah dihantar kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; serta Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah bagi menyuarakan rayuan industri pelancongan Sabah.
"Saya yakin kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkan rayuan ini secara konstruktif bagi memastikan objektif rasionalisasi subsidi dapat dicapai tanpa menjejaskan kelangsungan industri pelancongan Sabah yang menjadi antara pemacu utama pembangunan ekonomi negeri," katanya.
























