PUTRAJAYA: Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 melabuhkan tirai dengan pencapaian memberangsangkan apabila hampir semua aset ditawarkan berjaya dijual, selain ia membuka mata masyarakat berhubung proses bidaan dan lelongan awam bukan lagi sesuatu yang eksklusif kepada syarikat atau pembida profesional.
Pengarah Bahagian Likuidasi Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, berkata sambutan pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran melebihi jangkaan dengan jumlah kehadiran pada hari terakhir mencatat peningkatan berbanding dua hari sebelumnya.
Beliau berkata, antara tarikan utama ialah jualan barangan teknologi maklumat (IT), perabot dan lelongan kenderaan yang berjaya menarik ribuan pengunjung dari pelbagai negeri.
"Alhamdulillah, pada hari terakhir jumlah pengunjung semakin bertambah berbanding dua hari sebelumnya dan secara keseluruhan, semua barangan IT serta perabot pejabat yang ditawarkan habis dijual.
"Bagi kenderaan pula, kita berjaya melelong 17 kereta daripada 18 yang ditawarkan pada sesi lelongan yang berlangsung pada kelmarin dan semalam," katanya ketika dihubungi BH.
Mohd Mukhzany Fariz berkata, pencapaian itu jauh melepasi sasaran awal memandangkan ia kali pertama konsep lelongan awam diperkenalkan dalam karnival berkenaan.
"Karnival yang dianjurkan ini berjaya membuka mata masyarakat untuk menyertai proses bidaan secara sah dan telus selepas diberi pendedahan yang betul.
"Sambutan luar biasa itu turut dapat dilihat apabila masih ada pengunjung dari Shah Alam yang tiba di tapak karnival di Putrajaya sekitar jam 7 malam semata-mata mahu menyertai bidaan, sedangkan sesi sudah berakhir pada jam 5 petang kerana kami mempunyai majlis penutupan pada sebelah malam.
"Situasi itu menunjukkan minat orang ramai terhadap konsep lelongan ini amat tinggi," katanya.
Mohd Mukhzany Fariz yang juga Pengarah Projek Karnival berkata, pihaknya berpuas hati kerana objektif utama penganjuran bukan sekadar menjual aset, malah memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai mekanisme pembidaan, proses lelongan dan Dasar Peluang Kedua Insolvensi.
"Walaupun ini pengalaman pertama, Jabatan Insolvensi menganjurkan karnival seperti ini, saya boleh rumuskan bahawa kami berjaya mencapai sasaran ditetapkan.
"Paling menggembirakan apabila kami menerima maklum balas positif daripada pengunjung, vendor dan agensi yang mengambil bahagian," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan penganjuran itu turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, yang mahu siri jelajah berkenaan diteruskan di negeri lain.
Beliau berkata, susulan sambutan menggalakkan itu, siri kedua Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi akan diadakan di Melaka pada 24 hingga 26 Julai depan dengan skala lebih besar.
"Kami mempunyai tempoh persediaan lebih panjang berbanding penganjuran di Putrajaya. Jadi, kami bercadang menambah lebih banyak vendor dan memperluaskan aktiviti ditawarkan kepada pengunjung.
"Kami yakin dengan semangat pasukan yang ada, siri di Melaka nanti akan menjadi lebih besar dan lebih meriah," katanya.

Mohd Mukhzany Fariz berkata, antara kejayaan paling membanggakan ialah sambutan diterima vendor Shopee yang kali pertama menyertai jualan secara fizikal selepas sebelum ini hanya berniaga menerusi platform dalam talian.
Katanya, vendor berkenaan terpaksa berulang-alik ke stor sehingga tiga kali bagi menambah stok berikutan sambutan luar biasa daripada pengunjung.
"Mereka sendiri datang berjumpa kami dan menyatakan hasrat untuk menyertai siri jelajah di Melaka selepas ini, malah bercadang membawa sehingga tiga kontena barangan bagi memenuhi permintaan pengunjung di sana.
"Itu menunjukkan mereka sangat berpuas hati dengan sambutan yang diterima," katanya.
Beliau berkata, kejayaan karnival itu turut menarik minat beberapa institusi kewangan dan agensi kerajaan untuk menyertai pada siri akan datang.
Katanya, beberapa bank sudah menyatakan hasrat mengadakan lelongan aset masing-masing di tapak karnival, manakala Jabatan Kastam Diraja Malaysia turut menunjukkan minat terhadap konsep diperkenalkan.
"Kami menerima banyak maklum balas positif daripada agensi kerajaan dan institusi kewangan.
"Ada bank yang sedang meneliti cadangan untuk mengadakan lelongan mereka sendiri di tapak karnival, manakala pihak Kastam juga melihat konsep ini sebagai sesuatu yang baharu dan berpotensi dikembangkan.
"Ini memberi keyakinan kepada kami untuk menjadikan siri jelajah akan datang lebih komprehensif, dengan penyertaan lebih banyak agensi, institusi kewangan dan vendor," katanya.






















