BACHOK: Seorang anggota bomba dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bachok, di sini, hari ini, atas kesalahan melanggar seorang kanak-kanak perempuan hingga parah pada 3 Januari lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohammad Shuhaili Shuib, 46, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.
Mengikut pertuduhan kes, dia sebagai pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova secara cuai melanggar mangsa, Nur Afia Raisha Muhamad Shamsul, 4, sehingga parah di kawasan parkir Sri Chalet Nipah, Bachok pada jam 10.45 pagi, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid memohon mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh, namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Habil Zainal Abidin yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh berpendapatan RM2,000 sebulan dengan isteri bekerja kilang dan menanggung empat anak masih bersekolah, selain menyara ibu bapa tidak bekerja.
Tertuduh yang bekerja di Pulau Pinang turut berdepan kos tinggi bagi keperluan berulang alik ke Kelantan bagi menghadiri prosiding mahkamah ini.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Ogos ini.
Sebelum ini media melaporkan Nor Afia parah pada bahagian abdomen dan patah bahu kanan, tulang selangka serta tulang rusuk selepas dilanggar ketika menyertai program Hari Keluarga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Anak bongsu daripada tiga beradik itu adalah anak kepada seorang anggota bomba wanita yang bertugas di Pahang yang turut menyertai program pada hari kejadian.
























