BH Online
Ringkasan Berita

Nor Afiza tampil buat laporan polis nafi diculik, tak mahu diganggu

TAIPING: Wanita yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah pada 16 Jun lalu, sudah tampil di Balai Polis Kajang, Selangor, hari ini, dan menafikan dakwaan bahawa dirinya menjadi mangsa culik.
Nor Afiza tampil buat laporan polis nafi diculik, tak mahu diganggu

Nor Afiza Zainuddin

TAIPING: Wanita yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah pada 16 Jun lalu, sudah tampil di Balai Polis Kajang, Selangor, hari ini, dan menafikan dakwaan bahawa dirinya menjadi mangsa culik.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Mohd Ariffridzuan Ezahar, berkata Nor Afiza Zainuddin, 41, hadir ke balai polis itu kira-kira jam 3 petang tadi, sekali gus membuat laporan berhubung perkara itu.

Dalam laporan itu, beliau berkata, Nor Afiza turut memaklumkan bahawa dirinya tidak mahu diganggu ahli keluarga mahupun mana-mana pihak.

"Nor Afiza menjelaskan bahawa beliau keluar dari rumah pada 16 Jun lalu atas kerelaan hati sendiri tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana individu.

"Keterangan wanita itu sudah dirakam dan polis mengesahkan laporan yang dibuat adalah benar.

"Hasil pemeriksaan juga mendapati beliau berada dalam keadaan baik, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, tindakan menyebarkan maklumat tidak tepat boleh menimbulkan kegusaran dalam masyarakat setempat dan orang awam.

Terdahulu, Mohd Ariffridzuan dipetik berkata, Nor Afiza telah menghubungi polis bagi memaklumkan dirinya berada dalam keadaan selamat dan sihat, selain hanya memerlukan sedikit masa untuk menenangkan diri.

Sebelum ini, media melaporkan polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan wanita itu yang kali terakhir dilihat keluar dari kediaman ibunya di Kamunting dengan memandu sebuah Perodua Axia berwarna putih, 16 Jun lalu.

Mohd Ariffridzuan dilaporkan berkata, pada 21 Jun lalu, polis menemui Perodua Axia itu di tempat rekreasi Kampung Paya Lintang, Batu Hampar dekat Padang Rengas, dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati kereta itu berada dalam keadaan baik berserta kunci kereta.

Beberapa barangan milik Nor Afiza turut dijumpai dalam kereta itu seperti fail sijil, beg telekung dan kasut.

Video Terkini

Berita Berkaitan