BH Online
Ringkasan Berita

Harga durian di Pulau Pinang masih tinggi, Musang King, Duri Hitam RM38 sekilogram - FAMA

NIBONG TEBAL: Harga durian di Pulau Pinang masih dianggap berada pada paras tinggi berbanding negeri lain walaupun berlaku lambakan bekalan pada musim puncak berikutan keyakinan pengguna terhadap reputasi dan kualiti jenama raja buah dari negeri itu.
Harga durian di Pulau Pinang masih tinggi, Musang King, Duri Hitam RM38 sekilogram - FAMA

Kon Yeow (tiga kanan) bersama pemenang pertandingan raja buah bersempena Pesta Durian 2026 di Pulau Pinang hari ini. - Foto NSTP/Aminah Yusof

NIBONG TEBAL: Harga durian di Pulau Pinang masih dianggap berada pada paras tinggi berbanding negeri lain walaupun berlaku lambakan bekalan pada musim puncak berikutan keyakinan pengguna terhadap reputasi dan kualiti jenama raja buah dari negeri itu.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang, Mohd Hafiz Nurulhuda, berkata harga durian premium seperti Musang King dan Duri Hitam masih mampu mencecah antara RM30 hingga RM38 sekilogram berbanding negeri lain yang turun sehingga RM15 atau lebih rendah.

"Begitu juga dengan durian kampung Kalau diikutkan harga lantai turun sehingga RM2.70 tetapi untuk Pulau Pinang harga jualan boleh sampai sehingga RM3 hingga RM4 sekilogram pada minggu ini.

"Keistimewaan durian Pulau Pinang adalah kekuatan jenama yang membolehkan buah dari negeri ini bersaing dengan durian dari negeri lain," katanya ketika ditemui pada Pesta Durian 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di sini, hari ini.

Mohd Hafiz berkata, FAMA Pulau Pinang membeli kira-kira 85 tan menerusi program kontrak pemasaran selain menjadikan dua lokasi di Balik Pulau dan Pasar Tani Seberang Jaya sebagai pusat pengumpulan, pengedaran dan jualan durian sementara.

Katanya, Pusat Operasi FAMA Perai turut membekalkan 310 tan durian kepada outlet pemasaran FAMA selain berjaya membuka peluang pasaran baharu ke Lembah Klang dengan membuat jualan terus sebanyak 10 tan.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, pengeluaran durian negeri merekodkan 18,870 tan tahun lalu berbanding 17,910 tan tahun sebelumnya dan dijangka terus meningkat tahun ini sejajar pertambahan keluasan tanaman komoditi itu di Pulau Pinang.

"Keluasan tanaman durian berhasil mencapai 2,184 hektar tahun lalu dan dianggarkan meningkat 2,200 hektar pada 2026. Ini membuktikan durian kekal antara komoditi buah-buahan utama yang menyumbang ekonomi pertanian negeri," katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, pengeluaran buah-buahan secara keseluruhan tahun lalu mencecah RM309,47 juta meliputi 30,947.04 tan menjadikan sektor itu penyumbang terbesar kepada nilai pengeluaran tanaman Pulau Pinang.

Bagi tahun ini, katanya, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan pembangunan berjumlah RM14.53 juta bagi memperkasa sektor pertanian dan agromakanan dengan tumpuan utama kepada pembangunan industri buah bernilai tinggi.

Video Terkini

Berita Berkaitan