KUALA LUMPUR: Buku `Munshi Abdullah: Memperingati Suatu Legasi' edisi bahasa Melayu yang mendokumentasikan salasilah keluarga tokoh Bapa Kesusasteraan Melayu Moden, Munshi Abdullah Sheikh Abdul Kadir, dilancarkan hari ini dalam usaha memperluaskan akses masyarakat terhadap khazanah sejarah dan warisan persuratan negara.
Naskhah setebal hampir 200 halaman hasil penulisan cicit kepada Munshi Abdullah, Datuk Siti Saleha Sheikh Abu Bakar itu dilancarkan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam di sini.
Buku terjemahan daripada bahasa Inggeris berjudul `A Legacy Remembered' yang diterbitkan pada 2019 itu membolehkan lebih ramai pembaca, khususnya generasi muda, mengenali tokoh berkenaan serta legasi keluarganya.
Siti Saleha berkata, beliau pada mulanya memilih untuk menghasilkan buku itu dalam bahasa Inggeris kerana lebih selesa menulis dalam bahasa berkenaan hasil latar belakang kerjayanya sebagai peguam dan hakim.
"Apabila bersara, saya mahu menulis buku mengenai sejarah keluarga kerana sejak kecil saya mengetahui saya adalah keturunan Munshi Abdullah. Saya mula membuat penyelidikan dan menghasilkan buku dalam bahasa Inggeris.
"Selepas itu saya merasakan lebih baik ia diterjemahkan ke bahasa Melayu supaya dapat mencapai kelompok pembaca yang lebih luas, terutama golongan muda. Penting untuk mereka mengenali siapa Munshi Abdullah dan sumbangannya kepada negara," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku berkenaan.
Siti Saleha berkata, proses menghasilkan buku asal mengambil masa kira-kira setahun, sebelum diterjemahkan ke bahasa Melayu.
Beliau berkata, sebanyak 600 naskhah edisi bahasa Melayu sudah dicetak dan akan diedarkan secara berperingkat ke sekolah serta perpustakaan, khususnya di Johor dan Melaka.
"Sebelum ini, edisi bahasa Inggeris juga telah saya sumbangkan kepada sekolah dan perpustakaan. Kali ini saya berharap lebih ramai pelajar dapat membaca versi bahasa Melayu," katanya.
Buku `Munshi Abdullah: Memperingati Suatu Legasi' menelusuri salasilah keluarga penulis merangkumi tujuh generasi bermula daripada Sheikh Abdul Kadir Al-Uthmani sebelum mengisahkan perjalanan hidup Munshi Abdullah serta beberapa tokoh lain dalam keluarganya yang menyumbang kepada pembangunan Johor dan negara.
Selain memaparkan sejarah keluarga, buku itu turut mengangkat nilai tanggungjawab, pendidikan dan perkhidmatan awam yang menjadi warisan turun-temurun keluarga berkenaan, di samping mengimbau Melaka sebagai tempat kelahiran Munshi Abdullah.
Sementara itu, anak perempuan penulis, Saliza Faidz, berkata penerbitan edisi bahasa Melayu memperkukuhkan usaha keluarga berkongsi khazanah ilmu dan pemikiran Munshi Abdullah kepada masyarakat yang lebih luas.
"Sebelum ini karya berkenaan hanya tersedia dalam bahasa Inggeris. Terjemahan bahasa Melayu membolehkan kandungannya dihayati oleh pelbagai lapisan masyarakat," katanya.
Anak lelaki penulis, Malik Faisal Faidz pula berkata, pengedaran buku ke sekolah dan perpustakaan di seluruh negara diharap dapat meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap sumbangan Munshi Abdullah dalam perkembangan persuratan Melayu.
Beliau berkata, pelancaran itu bukan sekadar meraikan penerbitan sebuah buku, sebaliknya menjadi penghargaan terhadap usaha keluarga yang selama ini memelihara dan meneruskan legasi tokoh berkenaan.
"Legasi Munshi Abdullah bukan hanya terletak pada nama yang diwarisi, malah mencerminkan keberanian menyuarakan pandangan, kecintaan terhadap ilmu dan semangat pendidikan yang terus diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya," katanya.
















