BATU PAHAT: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata gabungan itu berdepan situasi unik apabila perlu bertanding menyaingi rakan dalam Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Begitupun, Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan seluruh jentera parti harus memberi sepenuh tumpuan memastikan kemenangan berpihak kepada calon BN.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, situasi yang menyaksikan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan bertembung pada PRN Johor adalah berbeza daripada kebiasaan, namun ia perlu dihadapi secara profesional.
"Kalau kita berlawan dengan seteru politik yang sebenar, senang... tetapi (ini) sukar kerana di Putrajaya kita berkawan, di sini kita berlawan.
"Sangat-sangat susah... saya pun tidak tahu apa hendak cakap sebenarnya.
"Namun atas nama prinsip UMNO dan parti komponen BN, yang lebih penting kita wajib memenangkan calon-calon kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Jentera BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani dan DUN Parit Raja di Dataran Tanjung Simpang, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menjelaskan pendirian BN pada peringkat Persekutuan kekal tidak berubah, dengan akan terus memberi komitmen kepada Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal pentadbiran.
"Kami adalah menteri-menteri yang profesional.
"Kita bersatu hati, fikrah dan tindakan untuk terus mendukung Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal.
"Itu pegangan kita. Kita tidak akan 'tebuk atap'. Kita akan terus mendukung kerajaan yang ada," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh jentera BN supaya bekerja lebih keras sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan kemenangan calon gabungan berkenaan pada hari pengundian.
























