BH Online
Ringkasan Berita

10,000 guna BUDI Diesel hari pertama

LANGKAWI: Seramai 10,000 pengguna memanfaatkan akses awal pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) di Semenanjung yang bermula semalam, tanpa sebarang isu dilaporkan sepanjang hari pertama pelaksanaannya.
10,000 guna BUDI Diesel hari pertama

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (dua dari kanan) meninjau proses akses awal BUDI Diesel di Stesen Petronas Kelibang, Langkawi. - Foto NSTP/Hamzah Osman

LANGKAWI: Seramai 10,000 pengguna memanfaatkan akses awal pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) di Semenanjung yang bermula semalam, tanpa sebarang isu dilaporkan sepanjang hari pertama pelaksanaannya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata akses awal itu dibuka selama empat hari sebelum pelaksanaan penuh skim berkenaan bermula Rabu ini.

Beliau berkata, pelaksanaan BUDI Diesel kali ini turut memperkenalkan mekanisme lebih anjal apabila pemilik kenderaan dibenarkan memindahkan kelayakan subsidi kepada ahli keluarga yang menjadi pengguna sebenar kenderaan.

"Seramai 10,000 pengguna telah memanfaatkan fasa akses awal yang dimulakan untuk pengguna di Semenanjung hari ini (semalam).

"Seterusnya, pelaksanaan penuh merangkumi peniaga kecil serta pemilik pikap dan jip persendirian milik syarikat," katanya pada sidang media selepas merasmikan produk pelancongan ATV Safari di Telaga Tujuh, di sini, petang semalam.

Amir Hamzah berkata, penambahbaikan itu dilaksanakan susulan maklum balas diterima daripada rakyat, khususnya pengguna di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

"Kita mengambil maklum keadaan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang menyaksikan ada kalanya anak membeli diesel bagi pihak ibu atau bapa, sedangkan mereka bukan pengguna sebenar kenderaan itu.

"Justeru, sistem baharu ini memberi ruang kepada pemilik kenderaan memindahkan kuota diesel bersubsidi kepada ahli keluarga yang benar-benar menggunakan kenderaan terbabit," katanya.

Beliau berkata, pemilik kenderaan boleh mengemas kini maklumat berkenaan menerusi portal rasmi BUDI MADANI Diesel.

Media sebelum ini melaporkan akses awal BUDI Diesel bermula semalam di Semenanjung dengan pengguna menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter bagi kuota anjal sehingga 200 liter, sebelum kadar itu diselaraskan kepada RM2.10 seliter mulai Rabu ini.

Video Terkini

Berita Berkaitan