BH Online
Ringkasan Berita

Karnival Insolvensi: Barangan pejabat, peralatan komputer ditawarkan harga serendah RM4 antara tarikan curi tumpuan

PUTRAJAYA: Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026, di sini, membuka peluang orang ramai mendapatkan barangan pada harga jauh lebih rendah daripada pasaran, selain pendedahan kepada proses pembidaan awam yang menjadi antara tarikan utama program itu.
Karnival Insolvensi: Barangan pejabat, peralatan komputer ditawarkan harga serendah RM4 antara tarikan curi tumpuan

Orang ramai mendapatkan pelbagai barangan menarik yang ditawarkan pada Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 di Putrajaya, hari ini. - NSTP/HANNAH NORBAQQA SYARUL

PUTRAJAYA: Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026, di sini, membuka peluang orang ramai mendapatkan barangan pada harga jauh lebih rendah daripada pasaran, selain pendedahan kepada proses pembidaan awam yang menjadi antara tarikan utama program itu.

Hasil tinjauan BH pada hari kedua penganjuran karnival berkenaan, hari ini, mendapati sejak awal pagi lagi orang ramai termasuk keluarga yang mengambil kesempatan cuti hujung minggu, hadir untuk mendapatkan maklumat berkaitan insolvensi dan menyertai pelbagai aktiviti seperti pertandingan mewarna, jualan serta lelongan awam yang disediakan.

Antara yang mencuri tumpuan ialah jualan barangan pejabat dan peralatan komputer pada harga dari serendah RM4, selain lelongan kenderaan yang membolehkan orang awam melihat sendiri cara proses pembidaan dijalankan.

insolvensisatu
Orang ramai mendapatkan pelbagai barangan menarik yang ditawarkan pada Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 di Putrajaya, hari ini. - NSTP/HANNAH NORBAQQA SYARUL

Pengarah Bahagian Likuidasi, Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, berkata karnival itu menerima sambutan luar biasa yang menyaksikan ramai pengunjung beratur panjang untuk mendapatkan barangan ditawarkan.

Malah, beliau berkata, ada barangan komputer dan komputer riba berjaya dibeli pengunjung pada harga serendah RM4 hingga RM5, sekali gus membantu golongan berkeluarga mendapatkan keperluan pembelajaran anak-anak pada kos jauh lebih rendah.

"Semalam, saya sendiri melihat orang ramai berpusu-pusu membeli barangan pejabat. Ada yang membawa troli untuk mengangkut barangan yang dibeli.

"Ada pengunjung bersyukur kerana berjaya mendapatkan komputer untuk anak mereka pada harga sangat murah. Jika membeli yang baharu, kos mungkin mencecah ribuan ringgit tetapi di sini, mereka boleh mendapatkannya pada harga jauh lebih rendah," katanya kepada BH.

insolvensitiga
Azmil membawa isteri dan dua anak mengunjungi Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 di Putrajaya, hari ini. - NSTP/HANNAH NORBAQQA SYARUL

Beliau turut memaklumkan setakat tengah hari tadi, enam kenderaan berjaya dibida dalam tempoh kurang 30 minit membabitkan dua kereta, dua motosikal dan dua lori.

"Sambutan terhadap lelongan kenderaan sangat menggalakkan. Ramai hadir bukan saja untuk membeli tetapi juga mahu melihat sendiri bagaimana proses pembidaan dijalankan.

"Sesiapa yang berminat membeli barangan lelong pada harga sangat murah, sila hadir ke karnival ini yang akan berlangsung hingga esok," katanya.

Sementara itu pengunjung, Azmil Abdul Rahaman, 38, berkata beliau membawa isteri dan dua anak ke karnival berkenaan untuk melihat sendiri proses lelongan diadakan.

"Apabila ada acara di Putrajaya, memang kami suka membawa keluarga berjalan-jalan. Kebetulan saya tahu mengenai program ini lebih awal dan memang mahu datang melihat sendiri suasananya.

"Saya sebenarnya berminat dengan jualan komputer yang ditawarkan tetapi apabila sampai, kebanyakannya sudah habis. Saya juga sempat melihat proses pendaftaran untuk pembidaan dan lelongan yang diadakan di sini," katanya.

Vendor Shopee, Rasyid Sulaiman, 35, pula mengaku tidak menyangka sambutan diterima begitu menggalakkan memandangkan ini adalah pengalaman pertamanya menjalankan jualan secara bersemuka berbanding hanya dalam talian sebelum ini.

"Alhamdulillah, sambutan sangat baik. Orang ramai tertarik kerana kebanyakan barang ditawarkan bawah harga pasaran. Walaupun cuaca kurang mengizinkan, pengunjung tetap hadir dan suasana masih meriah," katanya.

Pelawak dan pengacara, Azrul Zaidi, berkata antara keunikan karnival itu ialah pendedahan kepada konsep lelongan awam yang masih kurang difahami masyarakat.

Beliau berkata, ramai pengunjung yang ditemuinya mengaku tidak mengetahui orang awam juga boleh menyertai pembidaan dengan hanya memenuhi syarat ditetapkan.

"Saya melihat ramai bertanya cara mendaftar, bayaran dikenakan dan bagaimana proses pembidaan dilakukan. Jadi, karnival ini memberi pendedahan sangat baik kepada masyarakat," katanya.

Penyanyi dan pengacara, Ronnie Hussein, berkata ramai pengunjung dilihat sanggup datang awal dan beratur untuk mendapatkan pelbagai barangan yang ditawarkan pada harga rendah.

Video Terkini

Berita Berkaitan