KEPALA BATAS: Media Prima Berhad hari ini dilantik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai rakan media strategik bagi memperkukuh usaha menyampaikan kempen pencegahan dadah kepada masyarakat di seluruh negara dengan lebih berkesan.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, berkata pelantikan itu mengiktiraf peranan besar Media Prima sebagai konglomerat media utama negara yang mempunyai capaian luas menerusi pelbagai platform termasuk televisyen, radio, media cetak dan digital.
Beliau berkata, platform media yang dimiliki Media Prima seperti rangkaian televisyen, stesen radio dan kumpulan akhbar Berita Harian (BH), New Straits Times (NST) dan Harian Metro mampu menjadi medium berkesan untuk menyampaikan mesej pencegahan dadah secara terus kepada rakyat.
"Peranan Media Prima sangat penting dalam program pencegahan dadah disebabkan kadar penonton tinggi, contohnya TV3, begitu juga kadar pendengar radio seperti Hot FM, selain Molek FM yang juga antara stesen radio kegemaran ramai di Pantai Timur.
"Pada masa sama, AADK menerima sokongan berterusan daripada rangkaian akhbar di bawah Media Prima yang banyak membuat liputan aktiviti, program AADK dan ini perkembangan baik dalam mencapai objektif kita.
"Dengan jumlah audien yang besar, Media Prima mampu menyampaikan mesej kesedaran antidadah secara terus kepada rakyat. Kerjasama ini akan memberikan suntikan baharu kepada usaha pencegahan kami," katanya selepas sambutan Perasmian Hari Antidadah Kebangsaan 2026 di Dataran Sungai Muda, Kampung Titi Merdeka, di sini hari ini.
Majlis pengiktirafan itu disampaikan kepada Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNIA, Datuk Mohd Efendi Omar oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib pada majlis berkenaan.
Ruslin berkata, pihaknya berharap kerjasama itu dapat diteruskan menerusi lebih banyak program bersama dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyokong aspirasi mencapai Malaysia bebas kawalan penyalahgunaan dadah menjelang 2030.






















