BH Online
Ringkasan Berita

Tekad tiga calon bersaing rebut DUN Panti

KOTA TINGGI: Walaupun tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti tidak patah semangat untuk kembali menawarkan diri kepada pengundi.
Tekad tiga calon bersaing rebut DUN Panti

Calon PH, Ahmad Daniel Sharudin (dari kiri), Mohamad Alias Rasman (PN) dan Dr Muhammad Naqib Ghazali (BN) sah bertanding dalam perlawanan tiga penjuru di DUN Panti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16. Foto NSTP/ Mahaizura Abd Malik

KOTA TINGGI: Walaupun tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti tidak patah semangat untuk kembali menawarkan diri kepada pengundi.

Ahmad Daniel Sharudin yang mewakili AMANAH pernah mencabar kerusi sama pada PRN Johor 2022, namun tewas kepada penyandang BN, Hahasrin Hashim, selepas memperoleh 2,314 undi berbanding 12,599 undi diraih lawannya yang mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 5,854 undi.

Beliau berkata, pengalaman lalu memberikan banyak pengajaran berharga dan menjadi pemangkin untuknya tampil dengan persediaan lebih rapi bagi menghadapi PRN kali ini.

"Ini kali kedua saya bertanding dan pengalaman pertama dahulu memberikan banyak pengajaran berharga untuk saya kembali dengan persediaan yang lebih baik.

"Soal strategi biarlah menjadi rahsia parti kerana itu senjata kami, tetapi ia sesuatu lain daripada biasa.

"Saya harapkan kadar keluar mengundi lebih tinggi berbanding PRN lalu yang berlangsung ketika negara masih berdepan pandemik COVID-19, sekali gus membuka peluang lebih seimbang dan sama rata kepada semua parti yang bertanding," katanya.

Beliau ditemui di Pusat Penamaan Calon (PPC) DUN Panti, di sini hari ini selepas disahkan sebagai calon bertanding dalam saingan tiga penjuru bersama calon PN, Mohamad Alias Rasman dan Dr Muhammad Naqib Ghazali yang mewakili BN.

Sementara itu, Mohamad Alias yang sebelum ini bertanding di DUN Johor Lama pada PRN Johor 2022 berkata, pengalaman bertanding sebelum ini banyak mematangkannya, selain menjadi bekalan untuk menghadapi persaingan di DUN Panti kali ini.

"Pencalonan saya di DUN Panti adalah satu amanah yang diberikan parti. Setiap parti mempunyai strategi tersendiri, namun saya yakin pendekatan PN di DUN Panti mampu menarik sokongan pengundi. Saya berharap pengundi terbuka menerima apa yang saya bawakan semasa berkempen," katanya.

Ketua Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu Johor itu berkata, pengalaman bapanya, Rasman Ithnain, yang turut bertanding di DUN Sedili, selain pengalamannya dalam kepimpinan parti di peringkat negeri, menjadi antara kekuatan yang akan dimanfaatkan bagi mendekati pengundi.

Pada PRN 2022, Mohamad Alias tewas kepada calon BN, Norlizah Noh, selepas memperoleh 6,132 undi berbanding 12,171 undi diraih lawannya yang menang dengan majoriti 6,039 undi.

Sementara itu, Dr Muhammad Naqib berkata, walaupun ini kali pertama beliau dipilih sebagai calon BN pada pilihan raya, pengalaman tiga penggal bersama Pemuda UMNO Bahagian Tenggara sebelum dilantik sebagai Ketua Pemuda memberi keyakinan untuk menggalas tanggungjawab itu.

"Sepanjang tempoh itu, saya sentiasa bersama jentera parti di lapangan dan bekerjasama rapat dengan Ahli Parlimen Tenggara, justeru pencalonan kali ini bukan sesuatu yang asing, sebaliknya memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada masyarakat sebagai wakil rakyat," katanya.

Terdahulu, pengumuman pencalonan tiga calon berkenaan dibuat Penolong Pegawai Pengurus PRN DUN N34 Panti, Taufiq Hidayat Mohamad selepas selesai proses semakan borang pencalonan di PPC DUN Panti di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya di sini, kira-kira jam 10.20 pagi.

Video Terkini

Berita Berkaitan