BH Online
Ringkasan Berita

FAMA buka 20 pusat pengumpulan atasi lambakan durian di Perak

IPOH: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka 20 pusat pengumpulan sementara (PPS) bagi buah-buahan bermusim di seluruh Perak sebagai usaha menangani lambakan durian tempatan sepanjang musim kemuncak pengeluaran ketika ini.
FAMA buka 20 pusat pengumpulan atasi lambakan durian di Perak

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Mohd Zolkafly Harun (kanan) melayan pengunjung yang membeli durian pada majlis perasmian Jualan Agro Madani Mega di RTC Gopeng. - Foto NSTP/L Manimaran

IPOH: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka 20 pusat pengumpulan sementara (PPS) bagi buah-buahan bermusim di seluruh Perak sebagai usaha menangani lambakan durian tempatan sepanjang musim kemuncak pengeluaran ketika ini.

Pusat berkenaan diwujudkan bagi menyelaras proses pengumpulan, pembersihan, penggredan dan pemasaran buah-buahan bermusim, khususnya durian, sekali gus membantu pekebun memasarkan hasil mereka dengan lebih cekap dan memperoleh pulangan lebih baik.

Pengarah FAMA Perak, Azleena Zainal Abidin, berkata pihaknya turut memperluaskan rangkaian pemasaran menerusi Program Jualan Agro MADANI, Agrobazaar, jualan di pejabat kerajaan, kawasan perumahan dan lokasi strategik lain di seluruh negara.

"Usaha ini membolehkan pengguna mendapatkan durian segar dan berkualiti pada harga berpatutan, selain membantu pekebun memasarkan hasil mereka dengan lebih cepat, tersusun serta berkesan," katanya selepas Program Jualan Mega Agro MADANI di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, di sini, hari ini.

Program itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Mohd Zolkafly Harun.

Azleena berkata, bagi mengatasi lebihan bekalan, Pusat Operasi FAMA Perak turut memperkenalkan pemprosesan pes durian sebagai inisiatif pemasaran bernilai tambah.

Beliau berkata, inisiatif itu membolehkan pekebun menjual durian kampung yang sukar dipasarkan dalam bentuk segar, selain mengurangkan kerugian selepas tuaian akibat lebihan bekalan.

"Pes durian yang diproses mempunyai jangka hayat lebih panjang dan boleh dibekalkan kepada industri pemprosesan makanan, bakeri, pencuci mulut serta pasaran eksport," katanya.

Azleena berkata, FAMA Perak berjaya memasarkan 1,126 tan durian bernilai RM3.38 juta dalam tempoh 9 hingga 21 Jun lalu.

"Angka ini membuktikan keberkesanan rangkaian pemasaran FAMA dalam memastikan durian tempatan sampai kepada pengguna dengan lebih cekap, sekali gus mengurangkan lebihan bekalan pada peringkat ladang dan membantu pekebun memperoleh pulangan lebih baik," katanya.

Beliau berkata, FAMA akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pekebun, pengumpul, pemborong, peruncit dan agensi berkaitan bagi meluaskan akses pasaran hasil pertanian tempatan.

"Apabila hasil pertanian mendapat akses kepada pasaran lebih luas, tersusun dan berdaya saing, pekebun akan menikmati pulangan yang lebih baik, manakala pengguna pula memperoleh bekalan hasil segar berkualiti pada harga berpatutan.

"FAMA akan terus memainkan peranannya sebagai pemudah cara pemasaran bagi memastikan setiap hasil pertanian tempatan mencapai nilai pasaran optimum," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan