BH Online
Ringkasan Berita

KPKT lulus pinjaman perumahan RM18.8 juta kepada Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan 941 pinjaman menerusi Skim Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu (SPPRNT) berjumlah RM18.8 juta sejak 2002.
KPKT lulus pinjaman perumahan  RM18.8 juta kepada Terengganu

M Noor Azman (dua kanan) menyerahkan replika cek SPPRNT kepada Mohd Azmi (dua kiri), hari ini. NSTP/BAHAROM BAKAR.

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan 941 pinjaman menerusi Skim Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu (SPPRNT) berjumlah RM18.8 juta sejak 2002.

Ketua Setiausaha KPKT, M Noor Azman Taib, berkata seramai 776 daripada 941 peminjam berjaya menyelesaikan pinjaman dalam tempoh ditetapkan, manakala bakinya 165 peminjam dikategorikan sebagai aktif membuat bayaran.

Katanya, SPPRNT diuruskan KPKT menggunakan dana khas Kerajaan Persekutuan yang dikhaskan kepada rakyat Terengganu berjumlah RM20 juta.

"SPPRNT diwujudkan pada 2002 melalui Akaun Amanah di bawah Akta Tatacara Kewangan 1957 bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan kemudahan pembiayaan perumahan.

"SPPRNT diperkenalkan kerajaan bagi membantu rakyat berpendapatan rendah membina rumah baharu, membeli rumah kos rendah, termasuk yang sudah lama dibina dan masih dalam pembinaan serta membaik pulih rumah sedia ada," katanya selepas merasmikan majlis penyerahan SPPRNT, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham.

Mengulas penyerahan SPPRNT kepada kerajaan negeri, M Noor Azman berkata, cadangan pengambilalihan skim itu oleh kerajaan negeri sudah dibincangkan pada 2011 membabitkan pelbagai pihak dan peringkat pentadbiran.

"Pengakhiran kepada proses itu adalah persetujuan Kerajaan Persekutuan menyerahkan SPPRNT untuk ditadbir dan diuruskan kerajaan negeri.

"Penyerahan itu merangkumi keseluruhan program termasuk liabiliti dan baki terkumpul dalam Akaun Amanah SPPRNT berjumlah RM23.81 juta," katanya.

M Noor Azman berkata, penyerahan SPPRNT itu mampu memperkukuhkan pelaksanaan inisiatif pembiayaan perumahan rakyat menerusi Skim Pembiayaan Perumahan Terengganu (i-RAHMAN), terutama untuk golongan B40 dan M40 yang memiliki tanah sendiri tetapi masih belum mempunyai kediaman.

Video Terkini

Berita Berkaitan