BH Online
Ringkasan Berita

PRN Johor: Apa yang berlaku sebelum jam 11 pagi ini?

PROSES penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung hari ini sebenarnya tidak lama. Kertas penamaan calon perlu diserahkan antara jam 9 hingga 10 pagi kepada pegawai pengurus pilihan raya di 56 pusat penamaan calon oleh calon, pencadang dan penyokong. Kemudian tempoh sejam diberikan untuk bantahan dan jika tiada aral melintang, pegawai berkenaan akan mengumumkan nama calon yang diterima.
PRN Johor: Apa yang berlaku sebelum jam 11 pagi ini?

Petugas SPR melakukan persiapan akhir bagi penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16. - Foto NSTP/ Najmi Nor’Azam

PROSES penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung hari ini sebenarnya tidak lama. Kertas penamaan calon perlu diserahkan antara jam 9 hingga 10 pagi kepada pegawai pengurus pilihan raya di 56 pusat penamaan calon oleh calon, pencadang dan penyokong. Kemudian tempoh sejam diberikan untuk bantahan dan jika tiada aral melintang, pegawai berkenaan akan mengumumkan nama calon yang diterima.

Namun untuk sampai kepada tempoh sekitar dua jam itu, kita melalui rentetan pelbagai peristiwa sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan lagi daripada gegak-gempita pertembungan antara pemimpin sesama parti dalam Kerajaan Perpaduan mahupun kem pembangkang, kewujudan dua parti baharu yang terhasil akibat pertelingkahan dalaman dan kenyataan demi kenyataan ahli politik yang menarik diri dan merajuk, bahkan bertukar parti.

Malah untuk tiba kepada detik penamaan calon hari ini, berapa ramai diserang panik atau tidak lena tidur? Berapa pula yang impiannya berkecai dan berapa pula yang 'terkejut badak' kerana tidak menyangka terpilih?

Ini kerana senarai nama mungkin berkajang-kajang tetapi yang akhirnya hanya seorang daripada setiap gabungan baik Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) serta parti kecil lain yang diberikan watikah untuk bertanding di salah satu daripada 56 kerusi di seluruh negeri itu.

Justeru ketika calon PRN Johor mengemukakan kertas pencalonan masing-masing dan disahkan selepas jam 11 pagi nanti, gendang kempen secara rasminya dipalu. Namun pilihan raya ini sebenarnya sudah pun 'bermula' lebih awal lagi.

Ini kerana semua gabungan atau parti memasuki gelanggang dengan beban berlainan dan naratif berbeza.

PH mungkin memikul beban paling berat kerana sebagai tunggak Kerajaan Persekutuan, ia tidak lagi boleh berkempen atas janji semata-mata, sebaliknya perlu berpaksikan rekod pentadbirannya. Namun, setiap parti komponen membawa bagasi yang berbeza.

Dalam tempoh beberapa minggu sebelum DUN Johor dibubarkan, PKR kehilangan kelompok ahli signifikan diketuai mantan Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden, Nik Nazmi Ahmad yang akhirnya menubuhkan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA). Ia berlaku selepas hampir setahun Rafizi terutamanya membina naratif melalui siri podcast Yang Berhenti Menteri (YBM). DAP pula melalui episod pengunduran bekas ADUN Skudai, Marina Ibrahim ekoran ura-ura pemindahan kerusi hingga mengundang polemik hangat, manakala AMANAH tidak terlepas daripada riak kecil membabitkan pencalonan di beberapa kawasan dan tiba-tiba 'terjerat' dalam perdebatan tidak perlu akibat podcast sekutu Rafizi.

Bagaimanapun, menjelang pelancaran jentera dan penamaan calon, PH dilihat berjaya sekurang-kurangnya mengisi 'kerusi penyokong' dengan pengundi terasnya dalam kalangan masyarakat Cina. Cuma harus diingat sesuatu isu mungkin sudah hilang daripada tajuk utama, tetapi belum tentu sirna daripada ingatan pengundi.

Urus episod 'sedu politik'

BN dipimpin Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pula memasuki PRN Johor daripada kedudukan berbeza. Johor bukan sekadar sebuah negeri buat UMNO kerana ia sebahagian identiti dan sejarah politik parti itu sendiri. Sebab itulah BN memilih melancarkan manifesto mengandungi 63 tekad bertemakan Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan sehari sebelum penamaan calon. Mesej ingin dibawa cukup jelas, BN mahu memastikan persoalan diberikan perhatian oleh pengundi adalah mengapa mereka perlu terus diberikan mandat, bukannya kekecewaan siapa tidak menjadi calon atau nama cadangan calon tidak diterima.

Namun, pemilihan calon tetap mengundang episod rasa tidak puas hati, rajuk dan bantahan, sekali gus menjadi 'sedu politik' cuma ia agak besar apabila bekas Speaker dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan keluar parti selepas berbalas kenyataan termasuk dengan Setiausaha Agung, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Bagaimanapun persoalan lebih besar yang perlu diberikan perhatian BN adalah sejauh mana sokongan tradisi pengundi Melayu masih kekal utuh, manakala pengundi Cina yang selama ini menjadi pengundi teras PH bersedia melakukan eksperimen dengan memberikan undi kepada MCA yang dianggap lebih kuat secara relatifnya di Johor.

Tidak hanya parti pemerintah sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan yang membawa beban sebelum masuk ke gelanggang PRN, Perikatan Nasional (PN) juga ada bagasinya apabila hubungan antara PAS dengan BERSATU yang berakhir dengan 'talak politik' dijatuhkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan sekali lagi menjelaskan perseteruan tidak selesai meskipun masuk di bawah satu bendera, iaitu jentera PAS tidak akan membantu calon BERSATU.

Dalam pilihan raya, calon dan manifesto memang penting tetapi tanpa jentera ampuh, ia ibarat kalah sebelum berlawan. Menariknya, penganalisis politik Dr Mohd Yusri Ibrahim melihat perkembangan di lapangan sedikit berbeza. Berdasarkan pemerhatiannya, sambutan terhadap program BERSATU sejak pelancaran jentera sehingga pengumuman calon lebih hangat daripada jangkaan awal. Lebih penting, perhatian pengundi seolah-olah tertumpu kepada BERSATU, bukan PN secara keseluruhannya.

Ini mungkin berbeza dengan apa yang berlaku pada PAS yang buat kali pertama masuk ke gelanggang pilihan raya sebesar Johor ini dengan keadaan sangat 'tenang', sekali gus mencetuskan persoalan sejauh mana parti Islamis itu bersedia untuk bertanding dengan semangat sama seperti dahulu?

Belum 'perang' sebenar

PAS seolah-olah masih dalam fasa 'berbulan madu' apabila Parti Wawasan Negara (WAWASAN) pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainuddin akhirnya 'kembali' ke dalam payung besar PN pada awalnya dengan nama Parti Cinta Malaysia (PCM). Mungkin perang sebenar PAS seperti juga WAWASAN ialah PRN Negeri Sembilan.

Jika BN mahu mempertahankan kerajaan negeri, PH mahu mempertahankan keyakinan sebagai tonggak Kerajaan Persekutuan dan PN pula dengan lagu berbeza-beza mengikut komponennya, BERSAMA pula memasuki PRN Johor dengan misi tersendiri.

Malam tadi, BERSAMA mengumumkan 15 calon, sekali gus memberikan isyarat matlamatnya bukan membentuk kerajaan negeri. Sebaliknya, Johor ialah kertas litmus pertama buat parti dipimpin Syukri Razab tetapi hampir semua pemerhati politik memahami Rafizi masih menjadi arkitek utama parti berlogo kancil itu.

Pilihan raya ini akan memberikan jawapan awal sama ada pengundi Melayu terutama Gen Z, urban dan pertengahan bersedia menerima parti baharu lahir daripada serpihan PKR dan apakah pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina sanggup melakukan eksperimen politik dalam pilihan raya negeri yang tidak menentukan jatuh bangun kerajaan Persekutuan.

Jika berjaya memperoleh sokongan munasabah, BERSAMA akan mempunyai naratif besar untuk dibawa ke pilihan raya akan datang. Jika gagal, parti itu mungkin tidak rugi apa-apa kerana Rafizi dalam ucapannya berulang kali menyebut usia parti itu baru 40 hari, seolah-olah bayi yang ibu melahirnya baru selesai berpantang.

Dengan ini, setiap gabungan atau parti membawa beban dan naratif tersendiri yang kini semuanya dipusatkan kepada calon yang bakal diumumkan nanti. Ini bermakna selepas pegawai pengurus pilihan raya memuktamadkan calon berkenaan, semua persoalan titik-bengik dan perasaan kecewa sepatutnya dilupakan buat sementara.

Ini kerana semua parti sudah selesai memilih calon dan mulai hari ini juga, pengundi pula akan mula memilih parti yang bakal menjadi kerajaan mahupun wakil pembangkang atau istilah yang digunakan, iaitu pengimbang.

Tempoh beberapa minggu sebelum penamaan calon ialah masa untuk parti politik menilai diri tetapi waktu berkempen adalah ialah waktu mereka menawarkan diri kepada rakyat.

Penamaan calon mungkin hanya mengambil masa beberapa jam. Namun, dua minggu tempoh berkempen itulah yang akan menentukan sama ada beban dipikul setiap parti hari ini akhirnya bertukar menjadi mandat atau mudarat.

Selamat berkempen.

Penulis adalah Pengarang Berita (Rencana) BH

Video Terkini

Berita Berkaitan