KOTA KINABALU: Pakar Perunding Psikiatri, Dr Wong Haw Huo memberitahu mahkamah terdapat peningkatan jumlah kanak-kanak dan remaja yang mengalami kemurungan serius serta berisiko mencederakan diri atau membunuh diri.
Pada hari ke-78 inkues kematian Zara Qairina Mahathir, Dr Haw Huo berkata, beliau menyaksikan trend itu dalam amalan hariannya.
Saksi ke-75 itu menjawab soalan peguam Shahlan Jufri mengenai latihan tambahan yang diikutinya dalam bidang psikiatri kanak-kanak dan remaja.
"Saya mula memberi tumpuan khusus untuk memahami kanak-kanak dan remaja sejak mengikuti pengajian pascasiswazah dan saya mengambil inisiatif memohon kepada universiti untuk menjalani penyeliaan klinikal serta latihan lanjutan di unit psikiatri kanak-kanak.
"Menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang doktor untuk membantu golongan yang terdedah ini kembali ke sekolah dan mencapai kualiti hidup lebih baik," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Shahlan mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.
Saksi pakar berusia 39 tahun itu, yang mempunyai pengalaman selama 12 tahun dalam bidang psikiatri, mengendalikan antara 120 hingga 280 kes membabitkan kanak-kanak setiap tahun.
Beliau memberi keterangan daripada jumlah kes dikendalikan, antara 10 hingga 15 peratus membabitkan autisme, kira-kira 30 peratus membabitkan gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) serta 30 hingga 40 peratus membabitkan kemurungan dan kebimbangan.
Selain itu, katanya, sekurang-kurangnya 30 peratus membabitkan tingkah laku mencederakan diri termasuk mengelar diri, 15 hingga 20 peratus membabitkan pemikiran atau perlakuan membunuh diri; lima hingga lapan peratus melibatkan tingkah laku agresif atau ganas; manakala lebih 80 peratus membabitkan keengganan hadir ke sekolah, masalah emosi atau masalah tingkah laku.
Ketika ditanya mengenai keadaan paling kerap ditemuinya dalam amalan klinikal, Dr Haw Huo berkata, kebanyakannya membabitkan remaja perempuan yang mengalami masalah emosi dan tingkah laku, kecederaan diri tanpa niat membunuh diri serta risiko membunuh diri.
"Setakat pengetahuan saya, setiap individu yang datang mendapatkan rawatan di klinik adalah unik, begitu juga dengan tahap keterukan yang dialami.
"Kebiasaannya, setiap kes membabitkan lebih daripada satu keadaan. Ia selalunya adalah gabungan dua atau lebih masalah yang serius, yang mana aspek keibubapaan dan intervensi pihak sekolah diberikan penekanan sepanjang sesi bagi membantu pesakit mencapai pemulihan," katanya.
Inkues bersambung petang ini.






















