BH Online
Ringkasan Berita

Lelongan kereta serendah RM1,300 tarikan utama Karnival Insolvensi 2026 di Putrajaya

PUTRAJAYA: Lelongan pelbagai kenderaan membabitkan model tempatan dan mewah termasuk Jaguar, Aston Martin, Honda CR-V, BMW, Toyota Caldina dengan harga permulaan serendah RM1,300 antara tarikan disediakan pada Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 yang berlangsung tiga hari di kawasan parkir berhampiran Istana Kehakiman, Presint 3, di sini.
Lelongan kereta serendah RM1,300 tarikan utama Karnival Insolvensi 2026 di Putrajaya

Sebahagian kenderaan yang akan dilelong sempena Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

PUTRAJAYA: Lelongan pelbagai kenderaan membabitkan model tempatan dan mewah termasuk Jaguar, Aston Martin, Honda CR-V, BMW, Toyota Caldina dengan harga permulaan serendah RM1,300 antara tarikan disediakan pada Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 yang berlangsung tiga hari di kawasan parkir berhampiran Istana Kehakiman, Presint 3, di sini.

Karnival julung kali diadakan bermula hari ini hingga Ahad ini dengan sasaran kehadiran lebih 200,000 pengunjung, bertujuan memberi peluang kedua kepada individu diisytihar muflis, memperbaiki kehidupan mereka.

Pengarah Bahagian Likuidasi Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, berkata sebanyak 20 trak makanan, 30 vendor festival makanan dan 16 reruai agensi kerajaan serta sektor swasta beroperasi bagi memberikan perkhidmatan kepada pengunjung termasuk nasihat kewangan secara percuma.

Beliau berkata, pihaknya menjangka jumlah pengunjung akan meningkat selepas majlis perasmian dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, pada petang ini.

Katanya, lelongan kenderaan itu yang diadakan pada jam 11.30 pagi dan sesi kedua pada jam 5.30 petang bermula esok menjadi tarikan utama kerana ia membolehkan orang ramai memiliki kenderaan diminati pada harga lebih rendah.

"Antara tarikan utama ialah harga permulaan lelongan ditawarkan serendah RM1,300 bagi sebuah kenderaan dan penganjuran karnival ini bukan sekadar menawarkan peluang kepada orang ramai mendapatkan aset pada harga menarik, malah bertujuan mendekatkan Jabatan Insolvensi dengan masyarakat.

"Proses lelongan pula diadakan secara terbuka dan telus, sekali gus konsep ini dapat merakyatkan bidaan dan memberi peluang orang ramai mendapatkan aset pada harga jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Tinjauan BH di tapak karnival mendapati acara lelongan barangan lain diadakan bermula hari ini yang mendapat sambutan pengunjung termasuk peralatan komputer dengan harga bermula RM4 dan barangan Shopee.

eded
Pengarah Bahagian Likuidasi Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar. Gambar fail

Mohd Mukhzany Fariz berkata, pihaknya percaya rakyat yang berusaha memperbaiki kehidupan wajar diberi peluang bangkit semula dan individu muflis tidak seharusnya dihukum sepanjang hayat atas kesilapan atau kegagalan kewangan yang pernah dialami.

Susulan itu, beliau berkata, Dasar Peluang Kedua terus diperkukuh menjadi pendekatan lebih inklusif, prihatin dan berorientasikan pemulihan.

Sementara itu, pekerja swasta, Raziman Elias,41, berkata penganjuran karnival seumpama itu yang kali pertama dibuat di negara ini memberi pendedahan lebih meluas kepada orang ramai berhubung peranan Jabatan Insolvensi.

Beliau berkata, ia berjaya mengubah persepsi masyarakat sebelum ini berhubung jabatan itu yang bukan sekadar menguruskan individu muflis, sebaliknya membantu mereka menyelesaikan masalah kewangan termasuk usaha keluar daripada kebankrapan.

"Melalui klinik dan reruai yang disediakan di karnival ini, orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat dan penerangan berkaitan perundangan serta pengurusan kebankrapan secara percuma.

"Sebenarnya banyak perkhidmatan Jabatan Insolvensi yang dapat membantu individu muflis tetapi mungkin kurang diketahui dan karnival ini memberi peluang kita berinteraksi dengan mereka secara lebih terbuka dan mesra.

"Selain itu, banyak kemudahan disediakan di sini termasuk surau, tandas awam, kawasan parkir, ruang makan dan tempat duduk yang selesa sepanjang karnival berlangsung," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan