MARANG: PAS akan menjadi pembangkang dan penasihat kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden PAS, Tan Seri Abdul Hadi Awang, berkata paling utama parti pemerintah Johor diterajui orang Islam dan bukannya dikuasai puak bukan Islam dan liberal.
"Kita hendak orang Islam yang menerajui pemerintahan di Johor dan PAS akan menasihatkan kerajaan negeri itu," katanya selepas menyampaikan kuliah Duha, di Masjid Rusila, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu mengulas langkah PAS hanya bertanding 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Pada PRN Johor 11 Julai ini, PAS akan bertanding di 11 kerusi, BERSATU (16) dan lima kerusi untuk Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Abdul Hadi turut mengesahkan akan menyertai kempen PRN Johor seperti jadual ditetapkan PAS negeri di DUN Maharani dalam Parlimen Muar.
Mengulas sasaran kemenangan calon PAS, Abdul Hadi berkata, parti itu menyasarkan semua 11 DUN yang disertai calon PAS mampu mencipta kemenangan.
"Semua parti yang akan bertanding di Johor akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN)," katanya.
























