BH Online
Ringkasan Berita

Reruai lelongan kenderaan mewah bakal curi tumpuan di Karnival Insolvensi bermula esok

PUTRAJAYA: Reruai lelongan 24 kenderaan mewah dijangka menjadi tarikan utama pada Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 yang berlangsung esok hingga Ahad ini.
Reruai lelongan kenderaan mewah bakal curi tumpuan di Karnival Insolvensi bermula esok

Kerja memasang reruai giat dijalankan sempena Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 yang bermula esok di kawasan parkir Presint 3. NSTP/ Samadi Ahmad

PUTRAJAYA: Reruai lelongan 24 kenderaan mewah dijangka menjadi tarikan utama pada Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 yang berlangsung esok hingga Ahad ini.

Karnival tiga hari yang berlangsung di kawasan parkir berhampiran Istana Kehakiman, Presint 3, di sini, akan bermula pada jam 9 pagi hingga jam 11 malam.

Pengurus acara, Anwar Ibrahim, berkata karnival itu menerima sambutan menggalakkan daripada pelbagai agensi apabila menghimpunkan 15 reruai pameran membabitkan pelbagai agensi kerajaan.

"Antara kenderaan mewah akan dilelong kepada orang ramai membabitkan jenama Jaguar dan Bentley, dengan aktiviti lelongan berlangsung sepanjang karnival.

"Selain itu, kami turut menyediakan 36 reruai festival makanan dan 20 tapak trak makanan yang menawarkan pelbagai hidangan kepada pengunjung," katanya kepada BH ketika ditemui, hari ini.

Anwar berkata, orang ramai yang hadir turut dihidangkan dengan pelbagai persembahan termasuk oleh artis ternama, selain acara diisi dengan program kerohanian.

"Kami juga menyediakan reruai khas untuk kanak-kanak dengan pelbagai aktiviti menarik seperti permainan catur dan pertandingan mewarna," katanya.

Beliau berkata, persiapan penganjuran karnival berkenaan berjalan baik dan berharap dapat menarik kehadiran ribuan pengunjung.

"Pemasangan reruai agak sedikit terganggu disebabkan hujan, namun kami akan berusaha menyiapkan semua persiapan sehingga lewat malam ini.

"Ini memandangkan terdapat agensi yang sudah mula menyediakan pameran di reruai masing-masing," katanya.

Sementara itu, tinjauan BH di lokasi acara mendapati kerja pemasangan reruai giat dijalankan sejak pagi tadi.

Malah, ada agensi tertentu yang sudah menempatkan peralatan pameran di reruai masing-masing.

Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 bermula esok hingga Ahad ini di Zon Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur, sebelum ia diteruskan secara berperingkat ke lima lagi zon termasuk Johor, Melaka, Pahang, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang serta Sabah dan Sarawak hingga Disember depan.

Video Terkini

Berita Berkaitan